Skip to main
Logo Malaysiakini

Sejauh mana Najib ikhlas mohon maaf? - Otai Reformasi

Artikel ini sudah 10 hari diterbitkan

Pertubuhan Kebajikan Otai Reformis Malaysia (PKORM) mempersoalkan sejauh mana keikhlasan bekas perdana menteri Najib Razak memohon maaf atas skandal 1MDB.

Presidennya Mustapa Mansor menyuarakan kebimbangan yang permohonan maaf itu hanyalah satu strategi politik, di saat tekanan politik dan undang-undang yang kian meningkat.

“Reformis mungkin mempersoalkan sejauh mana permohonan maaf itu ikhlas.

“Jika ia dilihat sebagai strategi politik semata-mata, ia mungkin dianggap tidak tulus. Bagi mereka (reformis), permohonan maaf harus disertai dengan pengakuan penuh terhadap tanggungjawab dan kesalahan yang dibuat,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Mustapa Mansor

Pada Khamis lalu, Najib memohon maaf secara terbuka atas skandal 1MDB, namun kekal menyatakan dia tidak bersalah.

Dalam kenyataan yang dibacakan anaknya Nizar, bekas presiden Umno itu antara lain berkata dia telah diperdaya dan tidak sepatutnya dipertanggungjawabkan secara undang-undang atas skandal itu.

Semalam, Perdana Menteri anwar Ibrahim berkata dia “menerima baik” permohonan maaf tersebut.

Mengulas lanjut, Mustapa berkata walaupun Anwar secara peribadi menerima permohonan maaf itu, dia perlu mengutamakan harapan dan jangkaan rakyat terhadapnya.

“Reformis berpendapat permohonan maaf sahaja tidak memadai tanpa usaha pemulihan kewangan dan proses undang-undang yang adil terhadap semua yang terlibat.

“Rakyat ingin melihat perubahan sejajar dengan janji yang telah diungkapkan Anwar puluhan tahun lalu,” katanya lagi.

Percepat usaha reformasi

Menyuarakan sentimen sama, Pengerusi Bersih Muhammad Faisal Abdul Aziz menggesa Anwar untuk mempercepatkan usaha reformasi yang sekian lama diperlukan, terutama dalam badan penguat kuasa undang-undang.

Muhammad Faisal Abdul Aziz

“Amat malang selepas kerajaan bertukar pada 2018 sehingga hari ini, masih tiada usaha untuk laksanakan reformasi pada institusi penguatkuasaan undang-undang, walau semua akui 1MDB adalah skandal yang amat besar dalam sejarah negara.

“Ini termasuklah reformasi struktur polis dan mempercepatkan pengasingan bidang kuasa peguam negara dan pendakwa raya,” katanya.

Katanya lagi, skandal 1MDB perlu dijadikan pengajaran dan kerajaan perlu bertindak segera bagi memastikan ia tidak berulang.