'Tak timbul isu jatuhkan maruah presiden MCA'
Pemilihan Presiden MCA, Wee Ka Siong sebagai Penasihat Pelaburan China tidak bermaksud untuk menjatuhkan maruah pemimpin itu.
Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia dibuat berdasarkan pengalaman dimiliki pemimpin terbabit.
"Tidak timbul (menjatuhkan maruah)... ini persetujuan antara kami berdua dan sebagai penghargaan kepada peranan beliau yang boleh membawa pelabur dari China untuk membantu saya sebagai Pengerusi Majlis Halal Malaysia," katanya kepada media selepas merasmikan Konvensyen Umno Pahang di Temerloh, hari ini.
Ahmad Zahid berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan segelintir pemimpin MCA yang menyifatkan pelantikan Wee itu seperti merendahkan maruah presiden parti mereka.
Antara yang mempersoalkan lantikan itu ialah bekas naib presiden MCA Ti Lian Ker yang merasakan kedudukan itu tidak sepadan dengan status Wee sebagai ketua parti komponen BN, yang secara lazimnya diberikan jawatan menteri.
Seorang lagi pemimpin MCA, yang tidak mahu namanya disiarkan, berkata apabila berita pelantikan Wee diumumkan, beberapa bekas menteri parti juga tidak bersetuju.
“Ini dianggap tidak sopan. Ia seperti satu tamparan di muka, dengan lubang digali dan presiden ditolak masuk ke dalamnya,” katanya kepada Malaysiakini.
Ahmad Zahid bagaimanapun menjelaskan pelantikan Wee itu dibuat bulan lepas ketika lawatan rasmi ke Shanghai, China.
"Pelantikan Wee dibuat ketika lawatan saya ke Shanghai bulan lepas dan saya umumkan ketika mesyuarat MCA minggu lepas.
"Ini berdasarkan latar belakang dan pengalaman beliau dan beliau akan melakukan tindakan susulan untuk senarai bakal-bakal pelabur industri halal dan bekerjasama dengan Jakim, Matrade dan HDC," jelasnya.
Sementara itu, ketika diminta mengulas tindakan sekumpulan pelancong mengibarkan bendera negara China dalam satu acara di Ipoh, Perak, baru-baru ini, Ahmad Zahid memaklumkan perkara itu sudah diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Perkara itu sudah diserahkan kepada PDRM untuk siasatan lanjut dan saya meletakkan kepercayaan penuh kepada mereka untuk menyiasat perkara itu," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai