Skip to main
Logo Malaysiakini

Menteri: Industri pembangunan permainan digital M'sia ada potensi

Artikel ini sudah 8 hari diterbitkan

PARLIMEN | Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menyokong 60 projek pembangunan permainan digital tempatan sejak sedekad lalu dengan peruntukan sebanyak RM36.7 juta, yang seterusnya menjana nilai jualan dan eksport sebanyak RM45 juta.

Menteri Komunikasi Digital Gobind Singh Deo berkata sokongan pembangunan permainan komputer, konsol dan mudah alih diberikan melalui Dana Kandungan Digital MDEC dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM163 juta.

Ia juga pada masa sama turut merangkumi animasi tempatan, komik digital dan kandungan kreatif.

“Semua projek pembangunan permainan ini juga telah mencipta lebih daripada 700 peluang pekerjaan,” kata Gobind ketika sesi pertanyaan di Dewan Rakyat hari ini.

Dia menjawab soalan Syahredzan Johan (PH-Bangi) yang meminta kerajaan menyatakan jumlah pembangun permainan digital tempatan yang disokong oleh MDEC dari 2014 hingga kini, jumlah dana yang diterima dan keseluruhan jualannya.

Pada April lalu, Gobind dilaporkan berkata industri permainan digital negara mencatat pertumbuhan ketara, dengan pendapatan keseluruhan diunjurkan sebanyak RM3.3 bilion.

Gobind menunjukkan projek disokong MDEC telah memberi hasil RM45 juta.

“Ini sekali gus membuktikan industri permainan digital di Malaysia mempunyai potensi besar untuk dikembangkan dengan sokongan kerajaan dalam akses pasaran, inkubator, persidangan, bengkel, program peningkatan dan penyelarasan kemahiran, dan lain-lain," katanya.

“Bagi meningkatkan promosi dan pemasaran permainan digital tempatan, MDEC turut menyediakan platform dan peluang untuk syarikat meneroka akses pasaran.

“Antara pasaran permainan digital termasuk Persidangan Pembangun Permainan di Amerika Syarikat, Tokyo Game Show di Jepun, China Joy di China dan Gamescom di Eropah,” katanya.

Di dalam negara, Gobind turut menyebut acara tempatan seperti Jelajah Saya Digital, Malaysia Digital Content Festival dan Comic Fiesta yang seterusnya mengundang penyertaan daripada penerbit serta pengedar permainan digital di peringkat serantau dan antarabangsa.