‘Rugi, rugi, rugi’ - AJP Nafas luah apa terbuku di hati
Seorang anggota jemaah pengarah (AJP) Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) tampil meluahkan apa terbuku di hati.
Kenyataan itu dikeluarkan di tengah-tengah kontroversi dakwaan penggantungan pengurus besarnya Faris Arriffin susulan dakwaan salah guna dana.
Mohamad Zamir Ghazali dalam tulisan panjangnya menggambarkan badan induk persatuan peladang itu sebagai gagal dalam segala bidang.
“Berniaga ayam rugi. Ternak ayam rugi. Jual jentera rugi. Bina kolej sendiri rugi. Buat pemasaran produk asas tani rugi.
“Sewakan bangunan rugi. Lekat hutang sana sini,” katanya yang juga bekas calon Pakatan Harapan di Batu Burok, Terengganu.
‘Nyawa’ pada kilang baja padi
Dalam kenyataannya pagi ini, Zamir berkata “nyawa” Nafas hanya pada kilang baja padi.
“Itu pun sebab dilindungi. Kalau bersaing terbuka, alamat tersembam di pintu syurgawi,” sindirnya.
Terdahulu, negara dikejutkan dengan dakwaan penggantungan Faris yang juga ketua Pemuda Amanah Wilayah Persekutuan.
Nafas menafikan dakwaan melalui kenyataan media atas nama AJP dan menegaskan kenyataan rasmi hanya dikeluarkan melalui bahagian komunikasi korporatnya.
Pejabat Pendaftaran Pertubuhan Peladang pula berkata penggantungan pengurus besar tidak boleh dikuat kuasa sehingga keputusan muktamad dikeluarkan oleh pendaftar.
Komunikasi Korporat Nafas telah membuat laporan polis bagi menafikan dakwaan itu dan Faris pula mengeluarkan surat tuntutan guaman (LOD) susulan isu itu.
‘Gah untuk dilihat korporat’
Sementara itu, Zamir berkata dengan segala ehsan, subsidi dan hak autonomi dari kerajaan, nasib Nafas tidak banyak berbeza dengan nasib nasib pesawah dan petani miskin.
Bezanya, katanya, cuma gah untuk dilihat konon korporat.
“Buat baja dan jual baja adalah eksklusif. Tender bekal ayam adalah kuota tetap. Pendek kata modal kerajaan bagi. Pasaran kerajaan sedia. Laluan pembekalan kerajaan hidang. Tanpa persaingan hakiki.
“Dan ironi, ia rugi. Rakyat di luar berniaga dengan duit sendiri. Nafas berniaga dengan duit rakyat. Dan boleh rugi. Nakal sebenarnya,” katanya.
Zamir menegaskan Nafas perlu melalui reformasi institusi supaya menjadi seperti syarikat negara lain seperti Khazanah Nasional, Petronas dan Guthrie.
“Kami mahu Nafas menjadi Perbadanan Agro Negara.
“Kami tidak mahu diri kami petani hakiki persis ahli GISB. Yang kaya dan senang ialah tembolok di atas dengan gelaran AJP. Berlagak dengan nada suara dan uniform konon wakil petani.
“Sedang realiti petani di bawah ialah kuli. Kekal miskin dan merintih saban hari. Tanya diri anda sendiri, apa beza dengan GISB?” katanya.
Nafas adalah entiti bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang diterajui oleh Mohamad Sabu yang juga presiden Amanah.
Ia dianggotai oleh 14 buah pertubuhan peladang negeri, yang dianggotai oleh 279 pertubuhan peladang kawasan, yang mempunyai keanggotaan lebih 900,000 orang.
Nafas menceburkan diri dalam pelbagai aktiviti perniagaan dan pelaburan khususnya dalam bidang pertanian dan mempunyai belasan syarikat.
Sementara itu, menjawab kenyataan Zamir, Faris memberitahu Malaysiakini bahawa Nafas komited melaksanakan usaha penyusunan semula korporat dan pemulihan perniagaan.
Dia juga berkata, dalam mana-mana organisasi, terdapat “keputusan-keputusan lalu” yang mungkin memberi kesan kepada prestasi semasa.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai