Op Global: 68 permohonan kembalikan kanak-kanak sedang diproses
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedang memproses 68 permohonan untuk mendapatkan perintah mahkamah bagi mengembalikan kanak-kanak yang diselamatkan dalam Op Global kepada ibu bapa atau penjaga atau orang yang layak dan sesuai.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Nancy Shukri berkata pihak JKM perlu melaksanakan tugas dengan teliti dan terperinci termasuk siasatan mengikut lunas undang-undang sebelum menyerahkan kanak-kanak itu kepada keluarga mereka yang sebenarnya.
"Sebab ada satu kes di mana ibu dan bapa, kedua-duanya berebut mengatakan itu anak mereka, mungkin itu betul anak mereka, jadi pegawai kami terpaksa temu ramah mereka yang mengaku ibu dan bapa ini. Apa berlaku sekarang ini kita sudah mendaftar nama mereka yang menuntut (dikembalikan kanak-kanak itu).
"Selepas itu kita menjalankan siasatan dahulu sebelum kita menghantar kepada pihak mahkamah, bila kita nak melindungi kita mohon mahkamah, lepas itu nak hantar keluar (kepada keluarga) tetap mohon mahkamah juga, itu adalah peraturan undang-undang,” katanya.
Nancy berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: Kasih Kanak-Kanak 2024 peringkat Perlis di Kangar yang turut dihadiri Menteri Besar Mohd Shukri Ramli hari ini.
Nancy mengulas laporan media mengenai dakwaan sepasang suami isteri tentang penahanan anak mereka di sebuah rumah amal di Rasah, Negeri Sembilan pada 11 Sep lepas di bawah OP Global meskipun mereka tiada kaitan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH).
Dalam laporan itu, pasangan suami isteri itu meminta JKM memulangkan semula bayi perempuan yang berusia kira-kira setahun itu kepada mereka.
Mengulas lanjut, Nancy berkata pihaknya memerlukan dokumentasi lengkap untuk membuktikan kanak-kanak itu mempunyai pertalian sebagai anak mahupun kekeluargaan sebelum menyerahkan mereka kepada mana-mana pihak.
Dia berkata pihaknya tidak boleh sewenang-wenangnya menyerahkan kanak-kanak itu kepada penuntut tanpa bukti sahih dan perintah mahkamah untuk mengelakkan berlakunya sebarang isu.
"...kita tak tahu ibu bapa itu adalah betul atau tidak, kita bukan menahan mereka (kanak-kanak itu) tetapi mereka diambil pihak polis bersama JKM di tempat bukan bersama ibu bapa, jadi kita tak tahu siapa ibu bapa mereka...bayangkan kalau anak itu kita serah kepada sesiapa sahaja yang menuntut, selepas itu salah,” katanya.
Nancy berkata 54 kanak-kanak yang diselamatkan menerusi Op Global telah diserahkan kepada ahli keluarga mereka yang layak setakat ini, sekali gus menjadikan jumlah yang masih berlindung di pusat perlindungan mengikut peruntukan Seksyen 25(2)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 seramai 506.
-Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai