ULASAN | Bukti Madani tak pilih kasih
ULASAN | Tatkala SG4 (Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis) semakin lesu setelah tiada sebarang pelaburan antarabangsa diumumkan sejak pelancarannya setahun lalu, pelan The Greater Kedah juga berisiko menjadi retorik politik baru PN.
Semasa pelan The Greater Kedah dilancarkan baru-baru ini, agenda politik menteri besar, Muhammad Sanusi Md Nor, jelas kelihatan apabila dia menamakan isu Sungai Muda sebagai salah satu "perjuangan" mereka.
Sanusi terus memainkan sentimen bahawa sumber air Kedah diambil secara percuma oleh Pulau Pinang. Hakikatnya, Pulau Pinang adalah pemilik bersama Sungai Muda untuk 30km terakhir sungai itu.
Justeru, Pulau Pinang hanya menggunakan sumber air yang melalui tanah negeri tersebut berdasarkan prinsip Riparian.
SG4 sudah hampir 14 bulan berlalu sejak diumumkan. Walaupun PN mendakwa komitmen pelaburan sudah diterima dari Korea Selatan, Jepun dan China, tiada sebarang nama pelabur diumumkan.
Jika pun benar wujud pelaburan tersebut, adakah PN telah mencapai nilai pelaburan tanpa sebarang bantuan agensi persekutuan seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida)?
Hakikatnya, tanpa Mida, negeri seperti Kedah tidak akan dapat menikmati sebahagian besar pelaburan asing seperti sekarang.
Kurangkan jurang ekonomi
Mida telah membawa masuk pelaburan bernilai berbilion ringgit ke empat negeri di bawah pentadbiran PN. Misalnya, untuk tempoh enam bulan pertama tahun ini, pelaburan sebanyak RM32 bilion dibawa masuk ke Kedah.
Ini menunjukkan kerajaan Madani tidak mengamalkan sikap pilih kasih sebaliknya menjunjung prinsip federalisme kerana semua empat negeri ditadbir PN diberikan hak pembangunan secara seimbang.
Bukan itu sahaja, dalam Belanjawan 2025 baru-baru ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim terus mengangkat kebajikan dan kemajuan Perlis, Kelantan, Terengganu dan Kedah.
Ia menyebutkan rancangan kerajaan mewujudkan perkumpulan ekonomi (economic cluster) mengikut keistimewaan masing-masing seperti industri kimia khusus di Pahang dan Terengganu, serta tenaga boleh diperbaharui di Perlis dan Sabah.
Bagi mengurangkan jurang ekonomi antara wilayah, insentif cukai pendapatan pada kadar istimewa ditawarkan bagi pelaburan dalam 21 sektor ekonomi di Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu Sabah dan Sarawak, tertakluk kepada keberhasilan limpahan ekonomi.
Belanjawan 2025 turut menyebut mengenai projek hab hidrogen Terengganu yang akan dilaksanakan bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara.
Walaupun PN cuba menyemai benih antifederalisme menerusi retorik SG4, kerajaan terus mencari jalan menambah baik sosioekonomi Perlis, Kedah, Terengganu dan Kelantan tanpa mengira agenda politik.
Inilah prinsip keadilan yang dituntut Islam. Pelaksanaan mengatasi kata-kata.
FAIZ FADZIL ialah Setiausaha Agong Amanah.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
29 Oktober 2024
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai