Skip to main
Logo Malaysiakini

Menteri pertahanan digesa jelaskan alasan mahu beli jet terpakai Kuwait

PARLIMEN | Seorang ahli parlimen bebas hari ini mempersoalkan alasan di sebalik rancangan Kementerian Pertahanan untuk memperoleh jet pejuang F/A-18 Hornet terpakai dari Kuwait.

Dr Zulkafperi Hanapi (Bebas-Tg Karang) menegaskan bahawa pesawat lama itu tidak akan menandingi jet tercanggih negara jiran Singapura.

“Izinkan saya bertanya pada menteri pertahanan, berapakah fighter jet yang kita ada yang masih aktif? Dan apakah kewajarannya untuk kita membeli 35 buah FA-18CD hornet jets terpakai dari Kuwait?

"Mampukah ia menyaingi (jet) F35A yang dibeli (oleh Singapura)?" soal Zulkafperi dalam ucapannya ketika membahaskan Rang Undang-undang Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat.

Bekas kapten tentera itu merujuk kepada laporan berita baru-baru ini berkenaan Menteri Pertahanan Mohamed Khaled Nordin yang menyatakan hasrat kementerian untuk mendapatkan kira-kira 38 jet pejuang Hornet lama Kuwait.

Dalam ucapannya hari ini, Dzulkafperi menyeru agar negara mempertingkatkan sistem pertahanan udara, sambil memetik Singapura yang sudah pun menaik taraf armada jet pejuangnya.

Dia berkata Singapura akan menjadi satu-satunya negara di Asia yang mempunyai jet F35A yang meletakkan mereka jauh lebih maju dari segi aset ketenteraan di rantau ini.

Memperoleh sistem pertahanan udara yang komprehensif bukan pilihan bagi Malaysia sebaliknya adalah satu kemestian, tegas Zulkafperi.

"Kita tidak boleh leka dan selesa dengan keadaan semasa. Reformasi besar-besaran terhadap sistem pertahanan negara mesti dilakukan dengan segera.

"Kertas putih pertahanan perlu diperkukuhkan dengan pendekatan strategi yang lebih tuntas khususnya dalam memperkasakan pertahanan udara malaysia.

"Tindakan yang perlu kita lakukan adalah pertama memperkasakan keupayaan satelit bagi mengawal selia ruang udara negara.

"Kedua, memperkenalkan sistem perlindungan udara. Mungkin kalau tak keterlaluan kalau saya katakan seperti Iron Dome di Israel.

"Ketiga, menambah bilangan keupayaan pesawat tempur atau jet-jet pejuang negara, memperlengkapkan sistem peluru berpandu untuk menangkis serangan yang mungkin berlaku," katanya.