Skip to main
Logo Malaysiakini

PKR Tambun usul minta k'jaan tangguh penyasaran subsidi RON95 

PKR Cabang Tambun mengemukakan usul supaya kerajaan menangguhkan terlebih dulu cadangan bagi pelaksanaan penyasaran subsidi petrol RON95 pada tahun depan.

Usul itu dikemukakan pada Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) Tambun melibatkan 700 perwakilan, yang dirasmikan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, Ahad lalu.

"MATC Cabang Tambun usul mohon kerajaan pertimbangkan untuk tangguh pelaksanaan penyelarasan subsidi RON95 selepas pilihan raya umum ke-16 (PRU16)

"Cabang Tambun berpendapat setuju cadangan kerajaan untuk penyelarasan RON95 suatu tindakan demi kepentingan negara dengan kurangkan bebanan hutang negara.

"Tetapi kita mohon agar pelaksanaan dilakukan selepas PRU16 untuk mengelak kerajaan perpaduan difitnah tidak prihatin terhadap rakyat,” menurut usul yang diluluskan dengan sebulat suara itu.

Usul itu juga menyebut pihak “kartel” mungkin akan mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barang, menyebabkan kerajaan mungkin dipersalah.

Pembangkang pula, katanya, akan mempolitikkan perkara itu menjelang pilihan raya umum dan pilihan raya negeri.

Perdana Menteri Anwar Irabhim ialah anggota parlimen Tambun.

Ketika membentangkan Belanjawan 2025, Anwar mengumumkan langkah kerajaan untuk melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 pada pertengahan tahun 2025 dengan anggaran sekitar RM12 bilion untuk 85 peratus rakyat.

Anwar berkata, sesuatu yang tak dapat disangkal ialah warga asing dan 15 peratus teratas (T15) pengguna mahakaya menikmati 40 peratus subsidi petrol RON95 bernilai RM8 bilion.

Kerajaan masih memperhalusi tafsiran T15 yang akan mengambil kira pendapatan bersih serta lokaliti supaya pelaksanaan berlaku dengan adil.

Kajian itu, antaranya bagi menaikkan ambaang bagi T15 kepada mereka yang bergaji sekurang-kurangnya RM15,000 ke RM20,000 sebulan.

Sementara itu, usul PKR Cabang Tambun turut membangkitkan kebimbang mengenai cadangan kerajaan untuk memansuhkan skim pencen penjawat awam.

"Sebagai contoh, apabila kerajaan ingin memansuhkan skim pencen kita faham keputusan dibuat demi kepentingan negara tapi pembangkang tidak fikir begitu mereka akan utamakan kepentingan politik.

"Kita bimbang pada PRU akan datang salah satu janji PN adalah untuk mengembalikan semula skim pencen asal sekiranya mereka menang Putrajaya pada PRU16," kata usul itu lagi.

Menurut usul berkenaan, cabang Tambun mahukan kerajaan perpaduan perlu kekal sekurang-kurangnya dua penggal bagi melengkapkan agenda reformasi.