Skip to main
Logo Malaysiakini

'Beri lebih masa untuk Meta macam bagi muka buat scammer, pedofilia'

Kerajaan tidak boleh berkompromi dengan permintaan Meta yang mahu agar pihak berkuasa melanjutkan tarikh akhir pendaftaran pelesenan media sosial di negara ini.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata jika kerajaan bersetuju dengan permohonan tersebut, ia seumpama memberi muka kepada "scammer" dan kumpulan pedofilia terus bergerak aktif.

"Saya ada baca pihak Meta meminta masa yang lebih, tapi sejujurnya kita tak boleh bagi lebih masa kepada scammer dan kumpulan pedofilia yang sekarang berleluasa.

"Ada aduan kerajaan terima daripada orang awam tentang kewujudan kumpulan pedofilia di Facebook, ada yang beratus orang (pengikut di Facebook) ada yang beribu orang dan telah beroperasi bertahun-tahun lamanya.

"(Sebab itu) Saya tak faham kenapa Meta nak mempertahankan kumpulan scammer dan kumpulan pedofilia ini," katanya ketika ditemui media selepas menghadiri majlis Rumah Terbuka Deepavali Madani 2024 di Kuala Lumpur, hari ini.

Ia turut dihadiri Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, dan Presiden MIC SA Vigneswaran.

Sebelum ini Meta - yang memiliki platform media sosial Facebook, Instagram dan Whatsapp - meminta kerajaan melanjutkan tarikh akhir pendaftaran pelesenan media sosial.

Mengikut keputusan sedia ada, penguatkusaan akan bermula pada 1 Jan depan.

Dalam temu bual dengan Malaysiakini semalam, Pengarah Dasar Awam Meta Asia Tenggara, Rafael Frankel, membangkitkan kebimbangan gergasi teknologi itu terhadap apa yang disifatkannya sebagai "garis masa yang sangat dipercepatkan" untuk mematuhi peraturan baru berkenaan.

Bagi macam-macam alasan

Menurutnya, kebimbangan utama Meta adalah berhubung kewajipan yang tidak jelas yang akan dikenakan oleh kerajaan ke atas platform berkenaan.

Semalam, Fahmi sudah menegur Meta kerana masih gagal menangani jenayah pedofilia dan pengantunan kanak-kanak (sexual grooming) khususnya di platform Facebook.

"Meta perlu jauh lebih proaktif dalam membanteras kumpulan-kumpulan di akaun media sosial Meta yang menjurus kepada aktiviti jenayah seksual tersebut," katanya.

Mengulas lebih lanjut hari ini, Fahmi yang juga jurucakap kerajaan menolak dakwaan Meta yang memberitahu tiada perbincangan dilakukan antara mereka.

"Kata (Meta) kita tak pernah bincang dengan mereka itu satu penipuan, kita dah bincang mereka awal tahun lagi.

"Saya dah turun ke Singapura berbincang dengan mereka, dia bagi macam-macam alasan.

"Tapi, bagi saya keselamatan rakyat Malaysia terutama kanak-kana tidak boleh berkompromi," katanya lagi.

Sementara itu, ditanya mengenai isu kerugian pelaburan Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan Pelaburan Nasional Berhad (PNB) hasil jualan saham Fashion Valet Sdn Bhd, Fahmi berkata, dia akan memberi penjelasan mengenai perkara itu selepas mendapat maklumat lengkap mengenainya.

"Kerajaan memantau isu ini. Saya belum dapat laporan penuh apa yang berlaku, sudah tentu ramai orang mempunyai banyak persoalan tetang perkara ini," katanya lagi.