ULASAN | Saranan tukar mufti, menteri agama dangkal
ULASAN | Semalam tular di media sosial saranan seorang ahli akademik di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) supaya Menteri di Jabatan Perdana Menterii (Hal Ehwal Agama), Mohd Na'im Mokhtar, digantikan.
Cadangan itu dikemukakan agar kemelut Rang Undang-undang (RUU) Mufti Wilayah Persekutuan dapat ditangani dengan lebih baik.
Ahli akademik itu juga menyarankan agar seorang tokoh yang "lebih baik" dipilih menduduki jawatan mufti di Wilayah Persekutuan. Dengan kata lain beliau turut menyarankan agar Mufti Wilayah Persekutuan ditukar.
Antara sandaran alasan yang diberikan ialah dengan merujuk kepada petikan video pendek penjelasan Mufti Wilayah Persekutuan, Luqman Abdullah, mengenai RUU berkenaan.
RUU itu dianggap digubal bukanlah terhad kepada pemilihan mufti di Wilayah Persekutuan semata-mata, sebaliknya bakal dipaksakan ke atas umat Islam lain negara ini.
Beliau juga mendakwa bahawa melalui RUU itu, apa-apa aliran selain yang ingin ditakrifkan (al-Asha’irah dan al-Maturidiyah) secara langsung dan tidak langsung akan dianggap sesat.
Ahli akademik terbabit turut menyeru agar ahli parlimen menolak RUU berkenaan jika tiada pindaan dibuat.
Semakin hampir pembentangan RUU dan dibahaskan ada pihak yang semakin tidak tenang dan gelisah, melanting-lanting bagai cacing kepanasan. Mereka itu pula bukanlah mewakili suara ramai atau suara majoriti.
Siapa pensyarah untuk pertikai
Kebanyakan yang bersuara itu juga bukan daripada kalangan bukan Islam, sebaliknya umat Islam sendiri.
Saya pernah mengikuti satu sesi libat urus dengan orang bukan Islam. Isu penggubalan undang-undang Islam yang tidak terpakai kepada orang bukan Islam telah dibincangkan.
Ironinya, orang bukan Islam menyatakan bahawa mereka tiada masalah dan tidak menentangnya selagi ia hanya dikenakan ke atas orang Islam sahaja.
Saya boleh menganggap saranan pensyarah UIA itu sebagai suatu saranan yang dangkal. Dangkal bermaksud cetek, tidak faham benar, atau tidak mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang sesuatu perkara.
Mufti Wilayah Persekutuan dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong berdasarkan Seksyen 32 Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993.
Pelantikan itu dibuat menurut undang-undang yang sedang berkuatkuasa. Jadi, adakah pensyarah terbabit mempertikaikan keputusan Agong? Dan adakah dia mempertikaikan mufti tersebut sebagai orang yang layak dan sesuai?
Menteri Agama, Mohd Na'im Mokhtar, juga dilantik oleh Agong sebagai senator berdasarkan Fasal (1) Perkara 45, Perlembagaan Persekutuan, manakala pelantikan sebagai menteri berdasarkan perkara 43.
Adakah pensyarah itu mempertikaikan keputusan Agong Mohd Na’im sebagai ahli Dewan Negara?
Dan adakah dia juga mempertikaikan kelayakan dan kesesuaian menteri agama tersebut?
Siapakah pensyarah itu untuk mempertikaikan kedua-dua tokoh tersebut yang telah pun dilantik oleh baginda menurut undang-undang dan perlembagaan?
Pensyarah itu juga mendakwa bahawa "seorang menteri agama yang lebih menyatukan juga amat diperlukan, bukan memecahkan seperti yang kita dapati dalam menguruskan polemik RUU ini.”
Berdasarkan laporan media pada 12 Julai lalu, seramai 12 mufti menyatakan sokongan mereka kepada RUU Mufti Wilayan Persekutuan (tanpa pindaan).
Elak cetus polemik
Selain Mufti Kelantan, mereka yang menzahirkan sokongan itu ialah Mufti Perak, Sabah, Melaka, Kedah, Johor, Wilayah Persekutuan, Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan, Pahang dan Pulau Pinang.
Ada banyak pihak lain yang turut menyokongnya. Pihak-pihak yang menyatakan sokongan itu bermaksud bahawa mereka bersama dengan Mufti Wilayah Persekutuan dan menteri agama.
Jika ramai yang menyokong, hanya segelintir yang menentang - dan bercakap seolah-olah ramai yang menentang, seterusnya menjadikan ia sebagai suatu isu yang dipolemikkan - siapakah sebenarnya pihak yang memecahbelahkan?
Mendesak mana-mana pihak-pihak untuk meletak jawatan dalam isu perbezaan pandangan bukanlah sikap yang profesional dan bukan juga akhlak yang baik.
Sebarang kenyataan haruslah dibuat dengan berhati-hati dan bersandarkan kepada fakta yang benar dan tepat supaya ia tidak mencetuskan polemik.
Sebagaimana yang pernah dijelaskan oleh Mohd Na'im, cadangan pindaan Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam Wilayah Persekutuan 1993 adalah untuk mewujudkan undang-undang khusus bagi mufti dan ia bermula sejak 2021 lagi.
Ia berlaku dengan penubuhan Jawatankuasa Penggubalan RUU Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) bagi mengkaji dan menggubal suatu akta yang khusus untuk mufti.
Jawatankuasa itu dianggotai wakil dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Jabatan Peguam Negara, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Jabatan Mufti Selangor.
Ia telah melalui proses penggubalan yang teliti dan panjang bagi memastikan suatu RUU komprehensif dapat digubal serta selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.
Pensyarah itu turut menyeru ahli-ahli parlimen menolak RUU tersebut sekiranya pindaan-pindaan yang wajib dibuat (sebaliknya) kekal mahu dipaksakan.
Adalah tidak adil menyeru ahli-ahli parlimen untuk menolak RUU Mufti Wilayah Persekutuan yang hanya akan terpakai untuk Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sahaja.
Ahli-ahli parlimen adalah wakil rakyat yang mewakili 222 kawasan di seluruh negara. Daripada jumlah itu, hanya 13 orang ahli parlimen di Wilayah Persekutuan iaitu Kepong, Batu, Wangsa Maju, Segambut, Setiawangsa, Titiwangsa, Bukit Bintang, Lembah Pantai, Seputeh, Cheras, dan Bandar Tun Razak, Putrajaya dan Labuan.
Di Wilayah Persekutuan tiada kawasan dewan undangan negeri.
Perlu berlapang dada
Adil dan wajarkah bagi ahli-ahli parlimen yang mewakili kawasan di negeri-negeri lain untuk menolak RUU tersebut sedangkan ia hanya akan terpakai di Wilayah Persekutuan?
RUU itu dibawa ke parlimen kerana kuasa membuat undang-undang bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan terletak di bawah bidang kuasa parlimen seperti termaktub pada Perkara 3 (5) Perlembagaan Persekutuan.
Ahli-ahli Parlimen seharusnya membahaskan RUU itu secara adil dan cerdik, serta mengambil kira bahawa pemakaiannya hanya untuk umat Islam di Wilayah Persekutuan.
Setiap seorang ahli parlimen mewakili suara rakyat, bukan membawa suara peribadi. Walaupun pendapat atau pandangan peribadinya berbeza dengan suara rakyat, natijahnya suara rakyat yang perlu dibawa ke Parlimen.
Dalam keadaan majoriti rakyat menyokong RUU Mufti Wilayah Persekutuan ini - termasuk 12 mufti di negeri lain - maka suara majoriti rakyat inilah yang perlu diterjemahkan oleh ahli parlimen.
Sewajarnya mana-mana pihak segera menghentikan tindakan menghasut atau menanam kebencian umat Islam terhadap mana-mana pihak lain, khususnya kedudukan menteri agama, mufti dan institusi yang bertanggungjawab memastikan ketinggian Islam di negara ini.
Perbezaan pendapat perlu ditangani dengan sifat tasamuh (toleransi atau berlapang dada) serta beradab yang menjadi teras utama dalam membangunkan sebuah masyarakat Madani.
MUSA AWANG ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai