Bersatu gantung bahagian Kota Melaka, Hulu Langat
Bersatu menggantung bahagian Kota Melaka dan Hulu Langat serta menangguhkan persidangan bahagian berkenaan sehingga notis lanjut.
Setiausaha kerja parti Muhammad Suhaimi Yahya pada satu kenyataan hari ini berkata majlis tertinggi Bersatu memutuskan langkah terhadap bahagian-bahagian di Melaka dan Selangor.
Namun, sebab di sebalik penggantungan itu tidak dinyatakan dalam kenyataan tersebut.
Malaysiakini telah menghubungi ketua penerangan Bersatu Melaka Baba Md Deni dan ketua bahagian Hulu Langat Radzi Abd Latif untuk mendapatkan maklum balas mengenai perkara ini.
Pada 21 Oktober, Bernama melaporkan pemilihan Bahagian Jasin Bersatu "dibekukan" sementara berikutan penggantungan jawatankuasa bahagian tersebut baru-baru ini.
Setiausaha Bersatu Melaka Azzaruddin Idris sebelum ini dilaporkan berkata penggantungan itu akan mengambil "masa" dan bergantung kepada siasatan yang dijalankan oleh ibu pejabat parti.
"Kalau sebelum pemilihan (berlaku dan) bahagian masih belum dilepaskan (daripada) penggantungan, maksudnya tergantung jugalah (pemilihan) dan pemilihan tak boleh diadakan.
"Sekiranya sebelum tarikh pemilihan pada 2 Nov, penggantungan telah ditarik balik maka Bersatu Jasin boleh mengadakan persidangan tahunan (dan) sekiranya (penggantungan ditarik) selepas 2 Nov, ia akan mengadakan Persidangan Khas Bahagian," katanya.
Tiada sebab diberi
Azzaruddin berkata mereka masih belum dimaklumkan oleh ibu pejabat Bersatu mengenai sebab menggantung jawatankuasa bahagian terbabit kerana siasatan masih berjalan.
“Sebab-sebab penggantungan, kami (di peringkat negeri) masih tidak tahu, dan saya tidak dapat memberi komen kerana kami tidak tahu mengapa (bahagian Jasin Bersatu digantung), tetapi ia sedang dalam proses siasatan.
"Setelah siasatan selesai oleh (majlis kepimpinan tertinggi), penggantungan boleh dibatalkan, itu perkara biasa,” katanya.
Sebelumnya, tular satu surat bertarikh 14 Oktober yang ditandatangani oleh setiausaha agung Bersatu Hamzah Zainudin yang mengumumkan penggantungan jawatankuasa bahagian Jasin Bersatu.
Surat itu memaklumkan berikutan penggantungan tersebut, majlis kepimpinan tertinggi akan mengambil alih pengurusan dan pentadbiran bahagian Jasin Bersatu mengikut Fasal 11.2 Perlembagaan Bersatu.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai