Razman: Hanya PAS, DAP teguh prinsip
WAWANCARA | Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria beranggapan prinsip perjuangan parti-parti politik di Malaysia semakin terhakis dan lenyap.
Namun, masih ada dua parti politik saja yang menurut ketua pembangkang DUN Perak itu tetap teguh berpegang pada prinsipnya.
"Parti-parti yang ada prinsip sekarang ini tinggal dua saja, PAS dan DAP. Dua saja, yang lain tak ada prinsip, habis dah di punya (prinsip) tinggal dua (parti) ini.
"DAP ada prinsip, mereka jalan terus dengan matlamat yang ditetapkan dan jalan terus. Umno tiada prinsip, 'no DAP, no Anwar'.
"Dulu Umno jaguh Melayu, orang Melayu boleh duduk dengan Umno kerana inilah payung yang membawa kemerdekaan, dan begitu sensitif dengan Umno, sayang Umno.
"Kita dulu hidup susah (dulu) tengok Umno yang bawa hidup macam ni, dulu makan ubi kayu bla.. bla.. bla... nak sekolah pun payah, Umno buat sekolah, semua boleh masuk universiti. Sekarang prinsipnya tiada," katanya pada wawancara bersama Malaysiakini, di Petaling Jaya, Isnin lalu.
Adun Gunung Semanggol itu berkata demikian ketika menyentuh mengenai prinsip perjuangan parti politik dan menyifatkan Umno tidak lagi berprinsip selepas bekerjasama dengan DAP dan PKR yang dipimpin Anwar Ibrahim yang kini mentadbir Putrajaya.
Ketika diminta mengulas dakwaan PAS parti ekstrem, Razman menafikan perkara itu.
Katanya, itu hanyalah persepsi yang dilabelkan pihak tertentu kepada PAS.
Razman berkata banyak negara yang majoriti penduduknya Islam membawa keamanan termasuk kepada minoriti bukan Islam.
"Cuma sekarang kita dimomok-momokkan ekstrem, tapi tak beri kesempatan untuk kita menerangkan kebaikan PAS.
“Kita pernah sebut pergilah serata dunia ini, kita tengok penduduk yang majoriti Islam dengan minoriti bukan Islam tetapi orang bukan Islam boleh hidup dengan aman.
"Macam di Mesir ada 15 peratus (bukan Islam) boleh hidup aman, di negara-negara Arab ramai orang Kristian Ordotok, tapi boleh hidup aman.
"Tetapi kalau kita tengok di negara yang minoriti Islam, bukan kita rasis, (macam) di China, India ke, negara mana ke minoriti Islam, maka tak berapa nak aman sikit," dakwanya.
Dalam pada itu, Razman berkata cita-cita PAS untuk melaksanakan undang-undang hudud yang mendapat tentangan DAP turut menyebabkan label ekstrem terhadap parti itu.
‘Depa tak faham’
Menurutnya, perkara berkenaan berpunca kerana pengkritik tidak faham udang-undang Islam.
Jelas Razman, undang-undang yang ditetapkan Allah SWT suatu penyelesaian menyeluruh antaranya untuk menjaga keturunan, menjaga harta dan menjaga akal fikiran.
"Apabila kita nak buat undang-undang Islam, depa (mereka) tak faham, kita kata maqasid syariah atau tujuan syariah.
“Yang pertama menjaga keturunan, kita nak orang menikah secara sah, kalau kita tanya kamu suka ke isteri kena rogol, kamu suka anak kamu kena rogol? Tak suka. Inilah yang Islam jaga.
"Kedua menjaga harta, kamu suka ke barang kena curi? Tak suka, inilah yang Islam jaga. Kemudian nak jaga akal, nak bagi tak rosakkan akal, tak bagi orang mabuk dan sebagainya.
"Kamu suka suami mabuk? Tak suka. Inilah yang Islam jaga. Masalahnya dia tak faham, dia tak faham kerana lihat pada hukuman yang Allah tetapkan. Dia tengok takkan sampai macam ini kena rejam, yang ini kena potong tangan.
"Dia tengok kepada hukuman, tetapi (tak tengok) undang-undang ini tak akan menjadikan manusia sampai dihukum begitu. Ini yang dia tak faham, dia tak buka ruang," jelasnya.
Tegas Razman lagi, apa yang berlaku apabila PAS menang dalam pilihan raya musuh politiknya melabelkan kemenangan mereka dengan 'gelombang hijau' yang berbahaya.
"Ya dilabel PAS daripada awal, tengok baru-baru ini mereka kalah, kita menang, oh ini menakutkan bahaya gelombang hijau, ini negara Taliban.
"Mereka sendiri yang menggambarkan macam tu, tetapi mereka lihat tak sejarah yang sebenarnya, keamanan yang dibawa oleh Islam," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai