Skip to main
Logo Malaysiakini

Brics tiada masa depan selagi Rusia terlibat - pemimpin Ukraine

WAWANCARA | Status Malaysia sebagai rakan kongsi baru dalam pakatan Brics yang diterima pada sidang kemuncak terbaru di Kazan, Rusia bulan lepas tidak akan menghalang Ukraine daripada meneruskan perjanjian perdagangan dan pelaburan dengan pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Bercakap kepada wartawan di Kuala Lumpur, Timbalan Menteri Ekonomi Ukraine Taras Kachka menyebut platform Asean, dengan Malaysia sebagai pengerusi akan datang, sebagai “platform yang lebih substantif” untuk kerjasama antarabangsa.

“Saya fikir Brics sendiri merupakan platform yang tiada masa depan selagi Rusia terlibat di dalamnya.

"Sudah tentu, ia diuar-uarkan sebagai sesuatu yang mempunyai kelebihan daya saing, tetapi lihat saja contohnya Asean sebagai entiti di rantau ini sudah mempunyai agenda kerjasama yang jelas dan bermakna.

"Brics hanyalah dialog oleh para pemimpin negara dan kami tidak melihat hasil yang benar-benar substantif daripada sidang kemuncak terkini,” katanya.

Pada September lalu, Anwar mengadakan pertemuan dua hala bersama Presiden Vladimir Putin dalam lawatan kerja ke Rusia, sempena sidang pleno Forum Ekonomi Timur (EEF) kesembilan di Vladivostok.

Ketika itu Anwar menyatakan hasrat untuk menyertai Brics, sebuah blok yang secara kolektif menyumbang kepada satu perlima perdagangan global.

Malaysia pada 24 Oktober diiktiraf sebagai salah satu daripada 13 negara yang secara rasmi ditambah ke dalam Brics sebagai negara rakan kongsi namun belum menjadi ahli penuh.

Selain Malaysia, 12 negara lain yang turut disertakan ialah Algeria, Belarus, Bolivia, Cuba, Indonesia, Kazakhstan, Nigeria, Thailand, Turki, Uganda, Uzbekistan dan Vietnam.

Pada masa ini Brics dipengerusikan oleh Rusia dan dilaporkan mewakili lebih 40 peratus populasi global dengan gabungan ekonomi bernilai AS$26.6 trilion (RM115.7 trilion) — kira-kira 28 peratus daripada ekonomi global.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli mewakili Malaysia di sidang kemuncak Oktober di Rusia, bersama negara jiran Thailand dan Indonesia.

Sementara itu, Ukraine dalam dekad terakhir ini terlibat dalam konflik aktif mempertahankan sempadannya daripada serangan Rusia, dengan pencerobohan ketenteraan bermula pada Februari 2022.

Akibat perang, Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian menganggarkan terdapat 3.7 juta orang yang dipindahkan dalam negara di Ukraine setakat Januari, manakala 6.3 juta lagi direkodkan sebagai pelarian.

“Itulah sebabnya Malaysia meneroka forum kerjasama ini mungkin tidak begitu positif bagi kami kerana entiti ini di mana Rusia cukup aktif,” kata Kachka yang mengetuai delegasi dua hari ke Malaysia untuk mesyuarat Jawatankuasa Perdagangan Bersama yang pertama.

Katanya, dibandingkan dengan sejarah panjang kerjasama serantau dan global Asean, pakatan Brics yang diasaskan oleh Brazil, Rusia, India dan China pada 2009, disertai Afrika Selatan pada 2010 adalah “kurang substantif”.

“Kami tidak melebih-lebihkan perkembangan BRICS,” tegas Kachka.

Sejak 2010, pada Januari 2024, Iran, Mesir, Ethiopia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menyertai pakatan tersebut sebagai ahli baru.

Namun, Kachka berkata Ukraine di bawah Presiden Volodymyr Zelensky terus menjalinkan dialog langsung dengan negara anggota dan rakan Brics dalam pelbagai bidang kerjasama dua hala.

“Sebab itu, bagi kami terdapat banyak publisiti mengenai Brics. Tetapi selain daripada publisiti ini, saya tidak fikir ia menandakan era baru dalam hubungan antarabangsa.

"Kita semua tahu betapa sabarnya seseorang perlu untuk membangunkan hubungan antarabangsa.

"Kami benar-benar mengagumi apa yang berlaku di Asean dan saya fikir jawatan pengerusi Asean (untuk Malaysia) akan membawa lebih banyak hasil untuk kerjasama antarabangsa berbanding BRICS,” katanya.

'Prinsip bersama dikongsi'

Apabila ditanya jika sokongan diplomatik Israel untuk Ukraine dalam konflik bersama Rusia boleh menjejaskan perbincangan dengan Malaysia, Kachka berkata pentadbiran Zelensky bukan sahaja telah mengutuk serangan di Gaza, tetapi berkongsi prinsip yang sama.

“Apabila kita menilai apa yang Rusia cuba capai, apa yang Rusia cuba paksa kepada dunia, ia pengabaian prinsip yang penting kepada mana-mana negara. Bagi Malaysia juga.

“Sebagai contoh, kebebasan navigasi penting kepada Malaysia sebagaimana Ukraine,” katanya, merujuk kepada situasi di Laut China Selatan.

“Jadi dari perspektif ini, kami melihat Malaysia juga menghormati prinsip yang penting kepada Ukraine.

“Ini arah di mana kita membina kerjasama dan kita boleh terlibat semula dengan masyarakat antarabangsa,” tambahnya.