KOMENTAR | Ucapan Deepavali PAS jangan cuma penyedap rasa
KOMENTAR | Saya meneliti kenyataan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan semasa ucapan Deepavali.
Saya harap, mesej perpaduan yang dicanangkan oleh Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan ketika ucapan Deepavali adalah ikhlas dari lubuk hati.
BACA BERKAITAN:
PAS: Kepelbagaian aset bersama, bukan racun binasa
Sekiranya ini dapat dihayati, mesej tersebut sepatutnya menjadi titik muhasabah buat PAS terlebih dahulu.
Dalam era Malaysia Madani diterajui Perdana Menteri Anwar Ibrahim, PAS sepatutnya keluar dari pendekatan politik sempit perkauman.
Malangnya, senjata perkauman dan keagamaan sempit inilah yang masih seringkali dihamburkan oleh PAS menerusi ucapan beberapa pemimpin mereka.
Lihat sahaja kenyataan 'mata, kulit dan darah' oleh Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria. Ini jauh sekali dari semangat dipamerkan oleh Setiausaha Agung PAS.
BACA BERKAITAN:
Semua yang mata, kulit macam kita mesti bersatu - Razman
Razman: 'Mata macam kita' bukan hina kaum, media putar belit
Pada pandangan saya, sepatutnya PAS memberi fokus kepada pembinaan bangsa Malaysia ketika ini. Kita adalah 'nation builders'.
Bilakah Malaysia akan menjadi negara yang disegani jika kita masih menjuzuk-juzukkan rakyat?
Sebagai bekas ahli PAS, saya sarankan agar parti itu menghayati semula gagasan 'PAS for all' yang pernah diangkat era kepimpinan Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Pada waktu itu, banyak engagement telah dibuat oleh PAS. Bahkan, waktu itu juga tertubuh Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) sehingga ramai bukan Islam dilibatkan dalam PAS.
Namun, gagasan besar itu nampaknya sudah hilang seperti mana perginya sosok pemimpin unggul PAS itu.
Dalam DAP, kami percaya bahawa perbezaan yang wujud adalah ramuan kekuatan Malaysia.
Setiap bangsa, agama dan budaya telah menjadikan Malaysia negara yang kuat dan unik apabila setiap dari kita bersatu padu tanpa prejudis.
Justeru jika saranan setiausaha agung PAS serius, ia perlu menjadi penerapan yang holistik hingga akar umbi. Bukan sekadar ucapan penyedap rasa ketika musim perayaan semata-mata.
SHEIKH UMAR BAGHARIB ALI ialah Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP dan Naib Pengerusi DAP Johor.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai