PM diingatkan isu BlackRock ketika taklimat konflik Gaza
PARLIMEN | Perdana Menteri hari ini memberi taklimat kepada Dewan Rakyat mengenai perkembangan terkini di Gaza dan apa yang Malaysia rancang untuk perkatakan pada mesyuarat tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Arab Saudi minggu depan.
Bagaimanapun, taklimat Anwar Ibrahim itu menjadi ruang kepada pembangkang pula untuk mengkritik kerajaan sekali lagi berhubung penjualan saham Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) kepada anak syarikat firma berkaitan Israel, Blackrock Inc (Blackrock).
Dalam ucapannya Anwar berkata dia akan mengulangi tuntutan Malaysia agar tindakan diambil terhadap kekejaman yang dilakukan oleh rejim Zionis Israel, serta menyokong cadangan untuk diterima pakai oleh masyarakat antarabangsa.
“Adalah penting bagi Malaysia dan masyarakat antarabangsa untuk mengutuk pembunuhan beramai-ramai di Gaza, memberi tekanan kepada Israel untuk melaksanakan gencatan senjata serta-merta dan membenarkan laluan bantuan kemanusiaan,” katanya.
Anwar berkata Malaysia akan mencadangkan agar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memanggil Israel di hadapan Jawatankuasa Khas Menentang Apartheid.
Putrajaya juga, katanya, berikrar menyokong usaha Agensi Bantuan dan Kerja Raya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA) untuk membantu pelarian Palestin.
“Malaysia berhasrat menggunakan sidang kemuncak (OIC) ini untuk mendapatkan sokongan negara Arab dan Islam terhadap inisiatif itu, serta menghalang parlimen Israel daripada menguatkuasakan keputusan menghentikan operasi UNRWA di wilayah yang diduduki.
"Satu pendekatan yang mungkin adalah OIC menyokong usaha pengantaraan oleh AS, Mesir dan Qatar ke arah gencatan senjata," katanya.
Bagaimanapun Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) mengingatkan Anwar bahawa kerajaan harus konsisten dalam dasar domestiknya termasuk dalam isu BlackRock.
Menegaskan sokongan kepada pendirian Malaysia di persada antarabangsa, Ahmad Tarmizi berkata, kerajaan mesti menyatakan pendiriannya dengan jelas apabila terdapat ramai aktivis pro-Palestin menggesa agar penjualan saham MAHB itu dikaji semula.
“Majlis Hak Asasi Manusia PBB telah mengisytiharkan bahawa syarikat dan negara mesti segera menamatkan pemindahan senjata (ke Israel) atau berisiko melakukan pelanggaran hak asasi manusia.
"MAHB menghadapi risiko ini jika ia meneruskan penjualan saham. Jadi kami berharap perdana menteri akan mengambil pendirian tegas," kata ahli parlimen PAS itu.
Bulan lalu, BlackRock mengumumkan selesai mengambil alih Global Infrastructure Partners (GIP) yang menjadi entiti pemegang 25 peratus kepentingan dalam MAHB sebagai sebahagian daripada perjanjian penswastaan.
BlackRock juga memiliki 7.4 peratus kepentingan dalam Lockheed Martin - kontraktor pertahanan yang berpangkalan di AS dengan pelaburan berbilion dolar dalam industri senjata dan aeroangkasa Israel.
Anwar kemudian mengulangi pendirian Malaysia untuk tidak membenarkan mana-mana syarikat yang berpangkalan di Israel beroperasi di sini.
Katanya langkah sebegitu serta halangan kemasukan kapal kargo Israel adalah lebih tegas berbanding apa yang diambil ileh banyak negara lain di seluruh dunia.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai