Skip to main
Logo Malaysiakini

Syed Saddiq saran kerajaan kurangkan subsidi pengeluar gula

PARLIMEN | Kerajaan diminta tidak hanya menaikkan kadar duti eksais bagi minuman bergula secara berfasa, sebaliknya perlu mempertimbangkan langkah mengurangkan subsidi pengeluaran bahan itu.

Menurut Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar), langkah sebegitu perlu diambil bagi mengelakkan rakyat terus bergantung kepada gula sebagai "makanan ruji" mereka.

Katanya, langkah menaikkan kadar cukai eksais memang membolehkan kerajaan menjimatkan RM400 juta, namun pada masa sama subsidi sebanyak RM1 bilion dibelanjakan kepada dua syarikat pengeluar gula di negara ini.

“Cadangan saya adalah - jika kita serius ingin melaksanakan perang ke atas gula ini - jangan hanya berani naikkan cukai eksais gula, tetapi kita turut pertimbangkan secara berkala untuk mengurangkan subsidi pengeluaran gula di Malaysia supaya rakyat tidak terus bergantung kepada gula sebagai makanan ruji mereka,” katanya pada sesi waktu pertanyaan-pertanyaan bagi jawapan lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Pada 18 Okt lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan bercadang menaikkan kadar duti eksais 40 sen seliter bagi minuman bergula secara berfasa mulai 1 Jan 2025.

Kata Anwar, hasil yang akan diperolehi itu akan dimanfaatkan untuk membiayai kos rawatan diabetes di negara ini serta menyediakan rawatan dialisis bagi pesakit buah pinggang.

Mengulas cadangan Syed Saddiq, Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni, berkata dia secara peribadi berpendapat penjimatan yang diperoleh daripada pengurangan subsidi pengeluaran gula boleh disalurkan untuk dimanfaat rakyat.

Mahu beri idea tambahan

Menurut Lukanisman penjimatan tersebut boleh digunakan untuk membina lebih banyak infrastruktur Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Pada pandangan saya tidak baik kita memberikan subsidi yang berlebihan dan pada masa yang sama kita memerlukan kos yang sangat tinggi untuk merawat penyakit diabetis,” katanya.

Jelas Ahli Parlimen Sibuti itu lagi, data juga menunjukkan terdapat peningkatan masalah diabetes yang sangat tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia.

Pun begitu, katanya, cadangan dibawa Syed Saddiq masih perlu dibincangkan dengan Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi.

“Tetapi di KKM kami akan menyebarluaskan war on sugar (perang ke atas gula) yang memerlukan sokongan daripada semua parti dalam dewan ini.

“Saya juga sekali lagi menekankan supaya kempen ini haruslah dapat difahami oleh masyarakat dan pemberian subsidi terhadap gula kita akan pertimbangkan daripada semasa ke semasa,” tambahnya.

Lukanisman Awang Sauni

Terdahulu Lukanisman berkata berdasarkan laporan Prevention and Control of Noncommunicable Diseases in Malaysia: The Case for Investment 2021, kos rawatan khusus untuk penyakit diabetes di Malaysia adalah sangat tinggi dan meningkat setiap tahun.

“Secara keseluruhan, jumlah beban ekonomi iaitu mengambil kira kos penjagaan kesihatan secara langsung dan kos tidak langsung bagi penyakit metabolik (terutamanya diabetes) di Malaysia adalah sebanyak RM27.7 bilion.

“Menurut laporan itu juga, jumlah keseluruhan beban ekonomi bagi empat penyakit tidak berjangkit (penyakit kardiovaskular, penyakit metabolik terutamanya diabetes, penyakit kanser, dan penyakit respiratori kronik) ialah sebanyak RM 64.2 bilion,” katanya.

Lukanisman berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Yuneswaran Ramaraj (PH-Segamat) berhubung jumlah kos rawatan yang ditanggung oleh KKM bagi pesakit yang menerima rawatan untuk penyakit kencing manis atau komplikasi kesihatan yang berpunca daripada kadar gula yang tinggi dalam darah.

Tambahnya peningkatan itu juga disebabkan oleh pelbagai faktor, termasuk jumlah pesakit diabetes yang kian bertambah, keperluan infrastruktur, pemeriksaan makmal, rawatan berterusan seperti ubat-ubatan, serta komplikasi jangka panjang yang memerlukan rawatan khusus seperti dialisis untuk kegagalan buah pinggang.

Justeru, katanya, dengan angka rawatan RM33 bilion kerajaan mampu untuk membeli ambulans, membina lebih banyak linik kesihatan dan hospital.

"Maka saya harap war on sugar ini dapat disokong dan berilah kami idea-idea bagaimana kita boleh perkuatkan lagi kempen ini,” katanya.