'Jho Low, rakan guna AS$13 juta dana 1MDB untuk berjudi'
Seorang penyiasat penipuan kewangan yang berpangkalan di UK berkata sebanyak AS$13 juta dari 1MDB diselewengkan untuk membiayai perjudian selama dua hari oleh ahli perniagaan Low Taek Jho (Jho Low) dan rakannya, Tan Kim Loong.
Richard Templeman memberi keterangan dalam pernyataan saksi bertulis yang diserahkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk menyokong tuntutan saman AS$248 juta 1MDB terhadap Riza Aziz, yang merupakan anak tiri bekas perdana menteri Najib Razak.
Saksi plaintif itu berkata sebanyak AS$13 juta dipindahkan ke akaun Las Vegas Sands LLC di Bank America International.
Templeman menyatakan AS$11 juta dihantar kepada Low pada 10 Julai 2012 dan AS$2 juta dihantar kepada Tan pada keesokan harinya.
"Siasatan mendapati bahawa Las Vegas Sands LLC adalah sebuah syarikat kasino dan resort," kata penyiasat itu.
Templeman menambah pada 23 Julai 2012, sebanyak AS$7,350,500 dan AS$1.3 juta dari Low dan Tan telah dipindahkan keluar dari akaun Las Vegas Sands LLC ke akaun Alsen Chance.
Saksi itu menyatakan bahawa pembayaran ini ditandakan sebagai dana yang terhutang dari Low dan Tan, dan kemungkinan besar merupakan baki daripada pemindahan antara 10 dan 11 Julai pada tahun yang sama.
Keterangannya mengenai pesta kasino ini adalah sebahagian jejak kewangan daripada US$41 juta dana 1MDB yang disalur dari akaun Red Granite Capital Limited ke akaun Alsen Chance pada 20 Jun 2012.
Filem, judi, karya seni, hartanah
1MDB mendakwa sebanyak AS$248 juta daripada dana syarikat itu telah diselewengkan untuk membiayai penerbitan filem oleh penerbit filem Hollywood, Riza dan dua defendan lain, serta untuk berjudi dan membeli hartanah.
Dua defendan lain ialah syarikat Riza iaitu studio filem Red Granite Pictures Incorporated di California dan Red Granite Capital.
Red Granite Pictures menghasilkan filem terkenal pada 2013 iaitu "The Wolf of Wall Street," sebuah filem biografi komedi gelap jenayah yang menceritakan mengenai kebangkitan dan kejatuhan Jordan Belfort, seorang broker saham di New York City yang terlibat dalam rasuah dan penipuan besar-besaran di Wall Street.
Pelakon Hollywood, Leonardo DiCaprio memegang watak utama sebagai Belfort.
Sementara itu, dalam keterangannya, Templeman menyatakan sebanyak AS$3.3 juta dari dana 1MDB telah dipindahkan ke Callamari Fine Art Incorporated pada 27 Julai 2012, dengan rujukan transaksi 'Jean-Michel Basquiat'.
Saksi itu turut menyatakan bahawa AS$2,787,401 daripada dana 1MDB digunakan untuk apa yang disebut sebagai "perkhidmatan penerbangan persendirian" oleh Royal Jets antara 9 Julai dan 23 Julai 2012.
Perbicaraan saman sivil ini berlangsung di hadapan hakim, Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan.
‘Plaintif sedar dana diseleweng’
Melalui saman sivil yang difailkan pada 2021, 1MDB dan tiga anak syarikatnya mendakwa dana syarikat itu diselewengkan melalui pelbagai cara yang licik dan penipuan dengan memperdaya pihak ketiga yang tidak bersalah.
"Plaintif mendakwa bahawa jumlah AS$248 juta akhirnya digunakan untuk kepentingan peribadi Riza dan rakan-rakannya bagi membiayai filem Red Granite Pictures, membeli hartanah, membeli memorabilia filem, dan membayar perbelanjaan perjudian," dakwa plaintif.
Selain 1MDB, plaintif lain ialah 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, dan 1MDB Energy (Langat) Limited.
Dalam kenyataan pembukaan perbicaraan, plaintif mendakwa bahawa defendan dengan sedar menerima dana dalam keadaan di mana dana tersebut telah diseleweng daripada 1MDB.
1MDB dan tiga anak syarikatnya mendakwa Riza dan dua syarikatnya membantu Jho Low secara tidak jujur dalam melanggar tanggungjawab fidusiari.
Plaintif mendakwa oleh kerana Riza menguruskan kedua-dua syarikat tersebut, dia sepatutnya tahu bahawa dana yang berasal daripada 1MDB itu telah diselewengkan.
1MDB dan anak syarikatnya menuntut, antara lain, satu perisytiharan bahawa Riza bertanggungjawab terhadap dana yang diselewengkan dan mengembalikan wang tersebut kepada mereka.
Pinjaman dari Arab Saudi
Melalui pernyataan pembelaan, Riza mendakwa wang tersebut diperoleh melalui pinjaman dari keluarga diraja Arab Saudi atau International Petroleum Investment Company (IPIC) dan bukan daripada 1MDB.
Defendan mendakwa adalah sukar bagi pembikin filem yang tidak dikenali mendapatkan pinjaman daripada bank komersial, yang memaksanya untuk mendapatkan pembiayaan daripada individu atau syarikat.
Pada Mei 2020, Riza dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) oleh mahkamah bagi kes pengubahan wang haram melibatkan AS$248 juta yang dikaitkan dengan dana 1MDB.
DNAA ini adalah berkaitan kes jenayah, yang berasingan daripada saman sivil yang difailkan 1MDB terhadapnya.
Bapa tiri Riza, Najib, sedang menjalani hukuman penjara enam tahun atas kesalahan rasuah melibatkan RM42 juta dana SRC International.
SRC dahulunya merupakan anak syarikat 1MDB, sebelum pemilikan penuh dipindahkan kepada Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc). Najib juga merupakan menteri kewangan ketika dia memegang jawatan perdana menteri.
Firma guaman Shearn Delamore & Co mewakili 1MDB dan anak syarikatnya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai