Skip to main
Logo Malaysiakini

Lebih 200,000 mohon Budi Madani setakat Oktober

PARLIMEN | Sebanyak 205,000 permohonan bantuan tunai subsidi diesel bawah inisiatif Budi Madani diluluskan dalam tempoh lima bulan pelaksanaannya, bagi pemilik kenderaan diesel individu (Budi Individu) serta petani dan pekebun kecil (Budi Agri-Komoditi).

Ia melibatkan bayaran sebanyak RM160 juta.

Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan berkata, seramai 140,000 pemilik kenderaan diesel persendirian individu di Semenanjung Malaysia layak menerima Budi Individu.

Bagi petani dan pekebun kecil pula, seramai hampir 65,000 orang menerima manfaat, katanya.

“Pelaksanaan penyasaran subsidi diesel menunjukkan penurunan mendadak dari segi penjualan diesel daripada stesen minyak iaitu sekitar 25 peratus atau hampir tujuh juta liter sehari mencerminkan pengurangan aktiviti penyeludupan. 

“Manakala jualan diesel secara komersial pula menunjukkan peningkatan hampir 50 peratus atau empat juta liter sehari menggambarkan setakat mana sektor industri berhenti membeli diesel bersubsidi daripada stesen minyak,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Amir Hamzah berkata demikian menjawab pertanyaan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) yang meminta penjelasan setakat mana keberkesanan pelaksanaan penyasaran semula subsidi diesel melalui Budi Madani.

Amir Hamzah berkata bantuan tunai Budi Madani sebanyak RM200 sebulan atau RM2,400 setahun disediakan untuk golongan petani, pekebun kecil serta pemilik persendirian kenderaan diesel berdasarkan kriteria kelayakan yang ditetapkan.

Katanya berdasarkan data awal, penyasaran subsidi diesel setakat ini menjana penjimatan sekitar RM600 juta sebulan. 

“Pada masa yang sama, kadar inflasi kekal pada tahap terkawal dan baru-baru ini menunjukkan penurunan dengan kenaikan Indeks Harga Pengguna (CPI) 2.0 peratus pada bulan Julai 2024, 1.9 peratus untuk Ogos 2024 dan 1.8 peratus pada September 2024,” katanya.

Sementara itu, Amir Hamzah berkata kerajaan tidak akan bergantung sepenuhnya kepada data kajian Pendapatan Isi Rumah (HIS) oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bagi mentarifkan golongan T15 dalam pelaksanaan penstrukturan subsidi petrol RON95.

Sebaliknya, Amir Hamzah berkata kriteria penetapan T15 itu akan mengambil pandangan secara menyeluruh.

"Kerajaan masih meneliti untuk menentukan kriteria T15 bagi penyasaran subsidi RON95 dan tidak akan terikat secara terus dengan definisi HIS," katanya mengulas soalan yang dibangkitkan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) berhubung penyasaran subsidi petrol RON95 bermula pertengahan 2025. 

Pada masa sama, Amir Hamzah berkata, kerajaan masih dalam proses untuk menentukan kriteria T15 dengan mengambil kira semua data termasuk dalam sistem Pangkalan Data Utama (Padu), dan DOSM.

Amir Hamzah berkata, dalam memastikan kebimbangan rakyat diredakan, kerajaan akan memastikan kaedah pelaksanaannya dibuat secara menyeluruh seperti pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.

“Ini termasuklah memastikan bahawa kumpulan rakyat yang layak akan mendapat insentif atau bantuan sewajarnya di samping menggunapakai mekanisme yang mudah dan holistik.

“Selain mengekang aktiviti pencatutan atau kenaikan harga mendadak di kalangan pengusaha tidak bertanggungjawab,” katanya lagi.