Skip to main
Logo Malaysiakini

Penahanan salah: Mahkamah kira pampasan perlu dibayar pada warga S'pura

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan menentukan jumlah pampasan yang perlu dibayar oleh Jabatan Imigresen Malaysia kepada seorang warga emas warganegara Singapura berhubung penahanan secara tidak sah selama 13 hari pada tahun 2018.

Wong Chun Khuen memfailkan saman pemula (OS) bulan lalu untuk penilaian ganti rugi, susulan keputusan mahkamah sebelum ini mengesahkan penahanannya sebagai tidak sah.

Peguam Wong, Arun Kasi, mengesahkan mereka memohon agar mahkamah menentukan jumlah pampasan yang perlu dibayar oleh pihak imigresen Malaysia.

“Firma guaman saya, yang mewakili Wong, telah memfailkan OS di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 Oktober terhadap ketua pengarah imigresen bagi menuntut ganti rugi susulan penahanan anak guam saya oleh imigresen.

“(Penahanan anak guam saya) telah pun diisytiharkan tidak sah dalam tuntutan terdahulu dan ini disahkan oleh Mahkamah Rayuan.

“Mahkamah (Tinggi) hari ini telah mengarahkan supaya dokumen tambahan difailkan,” kata Arun kepada Malaysiakini.

Dalam perbicaraan penilaian ganti rugi, defendan mempunyai peluang untuk membantah jumlah pampasan yang diminta oleh pihak plaintif.

Pada 5 Mei 2021, Mahkamah Tinggi mengisytiharkan penahanan Wong oleh Jabatan Imigresen Johor sebagai tidak sah dari tarikh 14 Mac hingga 26 Mac 2018.

Menurut dokumen mahkamah, Wong sepatutnya dibawa ke majistret secara sah pada 13 Mac 2018, kerana Perkara 5(4) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa tahanan warga asing, yang ditahan di bawah undang-undang imigresen, perlu dibawa ke majistret dalam tempoh 14 hari dari tarikh penahanan.

Mahkamah tidak bersetuju dengan dakwaan Jabatan Imigresen bahawa Wong telah dibawa ke majistret di Johor Bahru pada 12 Mac dan sekali lagi pada 26 Mac 2018.

Mahkamah Tinggi mendapati terdapat pelanggaran hak asas Wong, di bawah Perkara 5(4), untuk dibawa ke majistret dalam tempoh 14 hari selepas ditahan.

Wong hanya dibawa ke majistret pada 26 Mac 2018. Dia kemudian dibebaskan selepas tempoh penahanan.

Menurut afidavit sokongan bagi tuntutan itu, pegawai imigresen menyerbu rumah Wong di Johor Bahru sekitar jam 11.05 malam pada 28 Februari 2018.

Pegawai-pegawai tersebut kemudiannya menahannya bersama beberapa warga asing lain di dalam rumah tersebut.

Dia dibawa ke pusat tahanan Setia Tropika pada 1 Mac 2018 dan dua hari kemudian dipindahkan ke Depot Imigresen Pekan Nanas.

Wong kemudiannya dibawa ke majistret pada 26 Mac tahun yang sama, di mana dia mengaku bersalah atas kesalahan imigresen di bawah Seksyen 55E Akta Imigresen.

Dia dikenakan denda sebanyak RM30,000 dan dibebaskan selepas membayar denda berkenaan.

“Sejak tarikh penahanan pada 28 Februari 2018 hingga sebelum 26 Mac 2018 (tempoh 29 hari), saya tidak pernah dihadapkan ke majistret, tetapi hanya dibawa pada 26 Mac 2018,” menurut afidavit tersebut.