Pelaburan FashionValet: Ketua Pemuda DAP tak setuju pandangan Pua
Ketua Pemuda DAP Dr Kelvin Yii tidak bersetuju dengan pandangan veteran parti itu, Tony Pua berhubung FashionValet Sdn Bhd, dengan berkata wujud tanda-tanda amaran dalam pelaburan kerajaan dalam syarikat itu.
Mengulas hantaran Malaysiakini di X, Yii berkata antara isu yang ada termasuk nilai awal FashionValet yang terlalu tinggi serta kurangnya pemantauan dan kebertanggungjawaban selepas pelaburan dibuat.
“Tidak boleh beri wang yang banyak dan biarkan sesiapa buat tembakan rawak tanpa kebertanggungjawaban, atas alasan ‘pelaburan modal usaha (venture capital) berisiko tinggi’,” katanya.
Semalam, Pua berkata pelaburan yang gagal seperti FashionValet adalah sebahagian daripada risiko diketahui dalam pelaburan modal usaha, memandangkan akan selalu ada lebih banyak kegagalan berbanding kejayaan.
Pua berkata demikian ketika mengulas kecaman terhadap FashionValet susulan kerugian RM44 juta yang ditanggung Khazanah Nasional and Permodalan Nasional Berhad (PNB) susulan pelaburannya dalam jenama fesyen tempatan itu.
Pada 2018, dua syarikat pelaburan berkaitan kerajaan itu melaburkan RM47 juta untuk menjadi pemegang saham minoriti dalam FashionValet dan menjual pegangannya kepada NXBT Partners Sdn Bhd pada harga RM3.1 juta pada tahun lalu.
Pada masa sama, Yii berkata Pua membangkitkan beberapa sudut pandang yang baik.
Dia berkata, perbincangan isu tersebut tidak boleh melibatkan emosi dan siasatan perlu bertumpu kepada aspek kebertanggungjawaban dan tata kelola.
“(Ini) tidak boleh menjadi witch hunt yang boleh membantutkan ekosistem modal usaha di masa depan,” katanya.
Dalam kenyataan pada Jumaat lalu, pengasas bersama FashionValet dan juga pasangan suami isteri Vivy Yusof dan Fadzaruddin Shah Anuar berkata mereka meletakkan jawatan daripada syarikat itu.
Syarikat itu kini dalam siasatan SPRM dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim juga telah mengarahkan Khazanah untuk membuat siasatan dalaman.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai