AGC akan bantah cabaran peguam mahu ikat jamin Yusoff Rawther
Jabatan Peguam Negara (AGC) akan membantah usaha bekas pembantu Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk membatalkan peruntukan 'tiada ikat jamin' di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.
Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali mengesahkan pihak kerajaan memaklumkan tindakan itu kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini.
Rafique, yang mewakili Muhammed Yusoff Rawther berkata anak guamnya sebelum ini ditolak ikat jamin dalam kes mahkamah melibatkan pertuduhan pengedaran dadah yang sedang dihadapinya.
Tertuduh mencabar kesahan Seksyen 41B akta tersebut.
“Mahkamah menetapkan pengurusan kes pada 20 Januari kerana kerajaan membantah saman pemula ini,” kata Rafique kepada media selepas prosiding di Mahkamah Tinggi.
Peguam itu menjelaskan cabaran perlembagaan ini bukan sahaja untuk Yusoff tetapi juga bagi individu lain yang ditolak ikat jamin dan ditahan selama empat hingga lima tahun sementara kes mahkamah pengedaran dadah dibicarakan.
Rafique turut kesal beberapa individu dalam tahanan reman akhirnya dibebaskan selepas pendakwaan gagal membuktikan kes jenayah mereka.
“Pada ketika itu, bagaimana seseorang boleh mengembalikan masa yang hilang,” kata peguam tersebut.
Melalui saman pemula ini, Yusoff memohon perintah mahkamah untuk mengisytiharkan Seksyen 41B sebagai tidak sah di sisi perlembagaan kerana mengehadkan kuasa mahkamah dalam memberikan ikat jamin.
Yusoff, yang juga terlibat dalam tuntutan saman serangan seksual terhadap Anwar, ditahan pada 6 September atas dakwaan memiliki senjata api dan dadah tetapi hanya didakwa dengan pertuduhan mengedar 305g ganja.
Tertuduh berdepan hukuman penjara seumur hidup dan 12 sebatan jika sabit kesalahan.
Yusoff juga menghadapi kes mahkamah berasingan atas dakwaan memiliki dua pistol replika.
Bekas pembantu penyelidik itu boleh dikenakan hukuman penjara setahun, denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya jika didapati bersalah atas pertuduhan memiliki pistol replika.
[Baca berita asal]
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai