Data Padu: Wee tuntut penjelasan Rafizi, terkilan dituduh 'tipu'
PARLIMEN | Demi membersihkan namanya, Presiden MCA Wee Ka Siong menuntut Menteri Ekonomi Rafizi Ramli memberi penjelasan di Dewan Rakyat mengenai dakwaan kesilapan fakta kos pembangunan dan pelaksanaan sistem Pangkalan Data Utama (Padu).
Wee (BN-Ayer Hitam) berkata dia terkilan kerana Rafizi menuduhnya berbohong apabila menggunakan data 'tidak betul' untuk kos pembangunan Padu.
“Saya minta Speaker (Parlimen Johari Abdul) nasihatkan menteri, saya bukan cari pasal tapi atas kesucian nama saya, saya akan pertahankan sampai ke kiamat.
“Saya minta kepada menteri kalau beliau masih berpegang kepada (jumlah) RM85 juta itu sebagai angka rasmi kenalah beliau lakukan sesuatu. Tarik balik apa yang beliau tuduh saya semalam.
“Kalau benar pegawai bagi (data) tanpa persetujuan beliau, dia kena buat penerangan menteri di sini beritahu jawapan saya sepatutnya dibetulkan.
"Dosanya tidak sepatutnya ditanggung oleh Wee Ka Siong,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Wee, data dan laporan yang diperolehinya berhubung kos peruntukan Padu tidak hanya melalui media rasmi kerajaan malahan portal rasmi PKR, Suara Keadilan.
Sementara itu, Wee turut mendakwa Rafizi sendiri sudah mengakui fakta kos Padu itu ‘salah’ dan ia diberikan oleh pegawainya.
“Semalam saya terus pergi ke tempat beliau, saya kata tidak adil untuk saya sebab ini data yang kamu bekalkan kepada ahli Parlimen dan dipetik oleh saya. Takkanlah penyata rasmi dalam dewan saya silap.
"Saya tanya dia macam mana boleh bagi data begitu, dia kata pegawai (yang bagi). Itu masalah kamu bukan saya.
“Kalau benar pegawai bagi (fakta salah) tanpa pengetahuan Rafizi, beliau kena buat penerangan di sini (Dewan Rakyat) dan beritahu Speaker.
“Dosa tak sepatutnya ditanggung oleh saya. Minta lakukan buat penerangan di sini atau tarik balik penafian,” tegas Wee.
Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul kemudian meminta Wee mengemukakan usul sama ada mahu Rafizi meminta maaf atau memperbetulkan fakta.
“YB (Yang Berhormat Ayer Itam) ada dua pilihan itu, kerana kalau saya yang cakap nanti dia bagitahu tidak ada rekod,” katanya.
Semalam ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 peringkat Kementerian Ekonomi di Dewan Rakyat, Rafizi menafikan kos pembangunan Padu RM85 juta.
Sebaliknya, Rafizi berkata perbelanjaan setakat September 2024 menunjukkan kos pembangunan dan pelaksanaan Padu RM31 juta dengan beberapa pecahan.
“Saya juga ingin memperbetulkan sedikit dakwaan bahawa pembangunan Padu melibatkan perbelanjaan sebanyak RM85 juta, ahli parlimen Ayer Hitam (Wee) selalu sebut ini dalam Tiktok dia.
“Dakwaan ini tidak benar, setakat September 2024, kos pembangunan dan pelaksanaan Padu adalah RM31 juta dengan pecahan berikut; pembelian perkakasan ICT RM890,000, perisian ICT yang memang kena bayar sebanyak RM4.6 juta; cloud computing dan kemudian sistem ini kena bayar dengan cloud computing dan tidak ada kena mengena dengan siapa-siapa, ambil lah siapa-siapa pun ini kena bayar dan jumlahnya RM6.4 juta.
“Dan yang mahal itu adalah operasi pendaftaran pengguna kerana kita kena menggaji Mystep yang digerakkan ke seluruh negara untuk menjaga kaunter pendaftaran dan masuk kampung. Kalau tidak ahli dewan juga yang bising iaitu RM19.3 juta.
"Semuanya dibangunkan sendiri oleh kakitangan awam yang bersengkang mata dan kalau laksanakan mengikut kaedah lama yang melantik orang luar jumlahnya melepasi ratusan juta ringgit,” jelas Rafizi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai