Telefon Zahid jam 3 pagi: Umno politikkan tragedi banjir 2017 - Lim
Selepas terus dihentam mengenai bencana banjir Pulau Pinang 2017, Pengerusi DAP Lim Guan Eng mengkritik pemimpin Umno yang menggunakan bencana alam sebagai alat politik terhadap pemimpin parti dalam gabungan Kerajaan Perpaduan.
Ini berikutan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi minggu lalu mengingatkan Lim tentang panggilan telefon pada 2017 apabila Lim dilaporkan meminta pertolongannnya untuk bantuan banjir di kawasan Bagan, Pulau Pinang.
Mengulas isu itu di X semalam, Lim berkata Ahmad Zahid tidak seharusnya memanipulasi tragedi itu atau menyalahgunakan panggilan putus asa Lim, yang dibuat semasa krisis yang meragut tujuh nyawa.
"Timbalan Perdana Menteri (Ahmad Zahid) tidak seharusnya cuba bagi mengeksploitasi tragedi dan memutarbelitkan sama sekali panggilan telefon saya yang ketika itu amat terdesak untuk meminta bantuan berhubung banjir besar dan tragedi yang menyebabkan tujuh nyawa terkorban," kata Lim.
Pada siri ciapan lanjut, Lim mengulas panggilan yang dibuat kepada Ahmad Zahid itu.
Walaupun mengucapkan terima kasih atas kesediaan Ahmad Zahid menjawab panggilan pada pukul 3:38 pagi, Lim kesal kerana niat baik itu kini digunakan sebagai senjata politik tujuh tahun kemudian.
"Menggunakan bencana alam sebagai senjata politik terutamanya terhdp pemimpin parti gabungan kanan Kerajaan Perpaduan berdasarkan laporan palsu, langsung tidak menambah keyakinan terhdp komitmen Umno terhadap solidariti dan kesepaduan di dalam Kerajaan Perpaduan," kata Lim.
Sebelum ini, dilaporkan Ahmad Zahid merancang bertemu Lim berikutan dakwaan Lim mengatakan menteri-menteri Umno tidak memberi sokongan yang mencukupi ke Pulau Pinang atau kawasan Bagan.
Ketika sesi Dewan Rakyat pada 5 Nov, Ahli Parlimen Umno Mohd Isam Mohd Isa turut mengingatkan Lim tentang panggilan telefon pada 2017 dan mempertahankan kerja menteri-menteri Umno serta menyifatkan kritikan Lim sebagai tidak berasas.
Namun, Isam seolah-olah merujuk kepada kenyataan Lim yang telah disalahlaporkan.
Mengulas isu itu, Lim berkata tidak wajar untuk Ahmad Zahid dan Mohd Isam mengkritiknya mengenai tragedi yang berlaku tujuh tahun lalu hanya disebabkan oleh kesilapan laporan FMT.
“FMT juga telah secara terbuka menyatakan penyesalan mereka atas laporan palsu itu dan telah membuat pembetulan yang diperlukan,” tambahnya ringkas.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai