Skip to main
Logo Malaysiakini

Kadet UPNM didakwa mencederakan guna seterika wap panas

Seorang kadet Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kerana mencederakan seorang lagi kadet menggunakan seterika wap panas.

Amirul Iskandar Norhanizan, 22 tahun, menafikan pertuduhan mencederakan Muhammad Salman Mohd Saiful Surash, 20 tahun, dengan senjata berbahaya.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di akademi latihan tentera di UPNM, kem Sungai Besi, Kuala Lumpur, sekitar jam 11.45 malam pada 22 Oktober.

Amirul berdepan hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda, sebatan atau mana-mana antara dua hukuman jika didapati bersalah di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Semasa prosiding mahkamah terbuka pagi ini, timbalan pendakwa raya Mohd Sabri Othman memohon agar jaminan ditetapkan pada RM30,000 dengan seorang penjamin kerana keseriusan kesalahan tersebut.

“Ia kesalahan serius melibatkan seterika wap panas yang menyebabkan kesan lecur tahap kedua pada dada kanan mangsa,” kata pendakwa raya.

Dia berkata jaminan perlu tinggi kerana kes ini melibatkan kepentingan awam dan perlu menjadi peringatan kepada masyarakat bahawa kes buli pelajar jenayah yang serius.

Amirul, yang tidak diwakili peguam, memohon jaminan lebih rendah kerana dia masih seorang pelajar dan bapanya pesara penjawat awam.

Hakim Egusra Ali menetapkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan dua penjamin dan memerintahkan tertuduh supaya tidak menghubungi saksi pendakwaan.

Hakim turut menetapkan 27 Disember sebagai tarikh sebutan kes.

Kes ini timbul tujuh tahun selepas kejadian buli kejam dan pembunuhan kadet tentera laut UPNM, Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain, yang turut melibatkan seterika panas.

Zulfarhan meninggal dunia pada 1 Jun 2017 di Hospital Serdang akibat kecederaan daripada 90 kali ditekap dengan seterika wap, yang menyebabkan 80 peratus tubuhnya melecur.

Mangsa berusia 21 tahun itu didakwa diserang berulang kali kerana enggan mengaku mencuri komputer riba milik pelajar lain di asrama universiti awam tersebut di Kuala Lumpur antara 21 dan 22 Mei tahun itu.

Susulan kejadian itu, enam bekas pelajar UPNM disabitkan membunuh Zulfarhan dan dijatuhi hukuman mati.

Keenam-enam tertuduh itu Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.

[Baca berita asal]