Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Kerajaan perlukan propagandis seperti Mohamed Rahmat

Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

ULASAN | Tulisan ini bukan saja untuk memperkukuh keyakinan bahawa propaganda itu penting untuk membina negara dan menyatukan rakyatnya. Malah artikel ini juga ditulis untuk kita kembali mengenang ketokohan Allahyarham Mohamed Rahmat sebagai seorang propagandis Melayu yang sering dilupakan.

Majoriti peminat muzik rock kapak mengenang dia sebagai individu yang memotong rambut Amy dan Awie di RTM pada 1992.

Dalam wawancara yang diterbitkan oleh Utusan Malaysia pada 3 April 2008, iaitu 26 hari selepas Umno mengalami prestasi buruk dalam PRU ke-12, dia pernah menyatakan amaran berkenaan kehilangan kuasa dengan bayangan siri-siri defisit sokongan dalam PRU yang pernah dialami Umno pada tahun 1988.

Katanya, “bukan mudah sebenarnya untuk mendapatkan kembali kepercayaan yang hilang. Pada 1988, saya cetak lima juta borang keahlian Umno (baru) tapi yang kembali (dipulangkan) balik tidak sampai separuh. Banyak borang digunakan sebagai pembungkus pisang goreng...orang Melayu (ketika) itu menyampah betul dengan Umno tapi demi hendakkan Umno berkuasa semula, kita usaha...”

Menurut Mohamed Rahmat, mesej paling utama yang mahu dia sampaikan adalah iltizam dan tekad yang tersemat dalam setiap diri ahli dan kepimpinan Umno untuk kembali menawan fikiran serta mengembalikan kepercayaan rakyat untuk berpaut kepada Umno sebagai parti politik yang paling boleh dipercayai dan diharapkan dalam perjuangan.

Mohamed Rahmat adalah graduan Universitas Indonesia yang menuntut di universiti itu sewaktu angin konfrantasi era pemerintahan Presiden Sukarno sedang bertiup kencang.

Sebagai seorang pelajar Malaysia di luar negara, dia sering mempertahankan pendirian kerajaan pimpinan Tunku Abdul Rahman yang mahu membawa Sabah, Sarawak dan Singapura ke dalam Malaya melalui rancangan penubuhan sebuah negara baru bernama Malaysia.

Ketegasan pendiriannya itu akhirnya sampai ke pengetahuan beberapa kumpulan pro-Sukarno yang menentang idea berkenaan kerana beranggapan gagasan itu sebagai suatu bentuk penjajahan baru oleh barat.

Sebaik kempen ‘Ganyang Malaysia’ dilancarkan, dia telah pun menamatkan pengajian dan memilih untuk segera kembali ke Malaysia kerana berselisih faham dengan tuan rumah tempat dia menyewa di sana. Dikhabarkan dua hari setelah meninggalkan Indonesia, terdapat segerombolan pemuda komunis Indonesia telah datang ke rumah sewa berkenaan untuk memburunya.

Namun apa yang lebih memeranjatkan adalah apabila sebaik Mohamed Rahmat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, dia telah disambut oleh sepasukan polis. Dia ditangkap, ditahan dan telah disoal siasat kerana disyaki menjadi anggota komunis Indonesia.

Rentetan itu, dia dikenakan tahanan di rumah dan perlu melapor kepada pihak polis sebarang pergerakannya. Pada ketika itulah Mohamed Rahmat mendaftarkan diri menjadi ahli Umno.

Pulang dari Indonesia, masuk Umno

Sebelum bergiat aktif dengan politik dia pernah bekerja sebagai guru sementara di Sekolah Menengah King Edward VII, Taiping sebelum menjadi seorang penulis skrip di Filem Negara Malaysia yang mana menurutnya di situlah dia mula mengenali apa itu propaganda.

Tun Musa Hitam iaitu kenalan zaman sekolahnya yang sudahpun terlibat lebih dulu dalam politik telah mencadangkan Mohamed Rahmat untuk menjadi setiausaha politik kepada Menteri Pengangkutan waktu itu.

Dari situlah kerjaya politiknya berkembang apabila diberi kepercayaan bertanding dan berjaya memenangi kerusi Parlimen Pulai pada PRU 1969. Mohamed Rahmat kemudian dilantik menjadi setiausaha parlimen di Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pelajaran sebelum dinaikkan pangkat menjadi Timbalan Menteri Kewangan, Timbalan Menteri Perusahaan Awam, serta Timbalan Menteri Perdagangan dan Perindustrian, sehingga dilantik menjadi Menteri Penerangan pada tahun 1978.

Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa dialah yang telah merangka dan menggerakkan misi propaganda dalam PRU 1978 yang menyebabkan peralihan kuasa di Kelantan apabila Umno memenangi 23 kerusi disamping sokongan Berjasa yang memperoleh 11 kerusi berbanding 2 kerusi sahaja yang dipertahankan PAS.

Mohamed Rahmat ada gaya dan cara sendiri dalam mendapatkan maklumat dan mengumpul data raya yang tepat berkenaan segala kehendak dan kemahuan rakyat Kelantan kala itu, dan akhirnya berjaya menamatkan masalah Umno Kelantan yang kerap terperangkap dengan konflik dan ketidakstabilan yang sering ditimbulkan sekutunya PAS.

Bukanlah sesuatu yang keterlaluan seandainya dikatakan dia adalah seorang pakar dalam strategi dan agenda propaganda.

dia juga pernah 'cuti politik' seketika apabila berkhidmat sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia bertaraf Menteri dari 1982 hingga 1984 kerana dikatakan tidak sehaluan dengan Musa Hitam selaku Timbalan Perdana Menteri ketika itu.

Semarak dan Setia

Tahun 1987/88 adalah tahun perpecahan dan perbalahan politik yang berpunca dari persaingan politik, protes kepimpinan, ketiadaan rasa kesetiaan terhadap parti dan kerajaan. Justeru Mohamed Rahmat merasakan perlu ada pendekatan baru dalam menimbulkan semangat kesetiaan dikalangan orang Melayu untuk kembali bersama Umno. Pada masa itu dia merupakan Menteri Penerangan dan juga Setiausaha Agung Umno.

Mohamed Rahmat percaya lagu mampu jadi alat propaganda paling ampuh bagi menyentuh hati dan menusuk kalbu rakyat tentang peri pentingnya kesetiaan.

Lagu Setia bolehlah dianggapkan sebagai suatu alat propaganda yang bertujuan untuk mengubah prinsip, sikap dan cara fikir seseorang manusia. Strategi propaganda itu menjadi mantra yang bukan saja buat melembut dan memujuk rakyat supaya cintakan negara, malah mengajar dan mengajak rakyat setia bersama seluruh kepimpinan negara sebagai identiti dan jati diri negara.

Menurutnya, propaganda yang baik adalah propaganda yang memiliki kehalusan kerja dalam mengubah sikap dan fikiran seseorang. Ia haruslah dilakukan dengan penuh seni dan sangat berhati-hati kerana propaganda yang kasar dan buruk hanya akan mendatangkan kebencian rakyat dan masyarakat.

Perluasan konsep Setia sebagai lagu yang menyatukan rakyat bersama pemerkasaan Semarak sebagai sebuah program adalah strategi propaganda yang sempurna dalam satu pakej yang lengkap.

Populariti lagu Setia melalui kekuatan melodi dan kelunakan lirik tidak memerlukan propaganda kerajaan pada waktu itu mengampu dan berlebihan dalam mengangkat imej dan kerja-kerja kerajaan.

Seandainya lagu Setia mengajak rakyat cintakan negara dan kepimpinan negara, maka program Semarak atau Pemimpin Setia Bersama Rakyat menjadi medan doktrin pemimpin membalas kembali cinta rakyat terhadap pemimpinnya.

Melalui indoktrinasi lagu Setia yang pada waktu itu viral ke seluruh platform media, dinyanyikan dari kanak-kanak sehingga dewasa. Semarak dengan jerayawara ke seluruh negara melengkapkan fungsi sebagai penzahiran komitmen kerajaan bagi mewujudkan masyarakat celik dalam berfikir agar tidak mudah termakan fitnah dan terhasut dengan berita-berita palsu yang hanya mahu memecah belahkan rakyat.

Melalui Semarak dan Setia, kerajaan pada ketika itu bukan hanya berjaya membina semula semangat setia dikalangan orang Melayu dan mewujudkan kestabilan masyarakat berbilang bangsa.

Pengajaran ini boleh diambil, setiap konflik mesti ada peluang penyelesaian. Kerajaan hari ini memerlukan susuk sang propagandis seperti Mohamed Rahmat yang mampu menjernih imej kerajaan, tahu punca masalah dan mengetahui cara menyelesaikannya. Ini mesti dicari segera.

BUDIMAN MOHD ZOHDI ialah penasihat SLR Institute. Bergiat aktif dalam penyelidikan propaganda dan penjenamaan politik.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.