Skip to main
Logo Malaysiakini

KOMENTAR | Gunakan AI pantau pokok berisiko tumbang

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

KOMENTAR | Ciapan Perdana Menteri Malaysia, YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim di aplikasi X (Twitter) bertarikh 15hb Mei 2024 sangat menarik perhatian pengamal bidang Alam Bina khususnya para arkitek landskap, perancang bandar mahupun arboris (perawat pokok).

Pada ciapan berkenaan, perdana menteri mengarahkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) wajib menggantikan setiap pokok yang terpaksa dipotong kerana berisiko tinggi dengan menanam 100 pokok baru.

Saranan ini sangat baik dan murni serta berpandangan ke hadapan selaras dengan situasi perubahan iklim semasa dunia yang semakin meruncing akhir-akhir ini.

Umum sedia maklum akan kepentingan pokok kepada alam sekitar terutamanya di kawasan hutan konkrit dan bandar besar seperti Kuala Lumpur.

Pokok mempunyai pelbagai kebaikan yang memberikan kesan positif kepada kelestarian alam sekitar sesuatu kawasan antaranya mampu mengurangkan suhu iklim mikro sesuatu kawasan dan juga sebagai agen penting dalam penyerapan karbon.

Di samping itu, habitat pokok yang pelbagai di sesebuah kawasan juga mampu menarik perhatian bukan sahaja manusia malahan habitat lain seperti burung dan unggas yang menjadikannya sebagai tempat istirehat sementara mereka berhijrah ke kawasan lain.

Namun persoalan menarik yang perlu dilihat oleh pihak bertanggungjawab adalah kawasan dan lokasi manakah yang bersesuaian untuk ditanam 100 pokok ini bagi menggantikan setiap pokok yang dipotong?

Jika terdapat lima pokok yang bakal dikorbankan, maka penggantian sebanyak 500 pokok diwajibkan dan memerlukan suatu analisa komprehensif akan di mana kesesuaian lokasi penanaman sebanyak 500 pokok berkenaan.

Disarankan agar pihak bertanggungjawab melihat akan keperluan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) seperti Sistem Maklumat Geografi (GIS) yang mempunyai kelebihan dalam membantu membuat keputusan yang lebih baik berkenaan kesesuaian lokasi penanaman pokok-pokok berkenaan.

GIS merupakan sistem yang mampu menganalisa kesesuaian lokasi penanaman pokok berdasarkan faktor seperti kesesuaian tanah, keadaan iklim mikro, saiz dan ruang penanaman, kadar kepesatan pembangunan sesebuah bandar dan sebagainya.

Dengan mengambilkira dan menilai faktor berkenaan, GIS akan mencadangkan beberapa lokasi yang bersesuaian bagi penanaman pokok berkenaan.

Penggunaan teknologi AI seperti analisa simulasi GIS ini bukan sahaja mampu membantu pihak berkenaan dalam membuat keputusan mengenai lokasi penanaman yang bersesuaian, malahan boleh juga meramalkan kesan penanaman pokok berkenaan kepada persekitarannya pada jangka masa tertentu (dalam jangka masa 10, 20 atau sehingga 50 tahun akan datang).

Di samping itu, dengan menggunapakai teknologi AI seperti GIS ini, suatu pengkalan data bijak (intelligent or smart database) boleh dibangunkan bagi memantau perkembangan kesihatan pokok berkenaan dari semasa ke semasa.

Pemantauan berasaskan teknologi ini sangat baik dan boleh membantu PBT dengan lebih efisyen dan bijak dalam mengenal pasti keperluan serta risiko pokok berkenaan ke atas kawasan sekitarnya.

Sebuah pengkalan data pokok-pokok sesebuah bandar perlu dibangunkan sebagai data inventori yang komprehensif dan boleh digunakan bagi tujuan analisa dan simulasi ke hadapan habitat berkenaan ke atas persekitarannya.

Penggunaan AI jangan dianggap remeh serta perlu dilihat dengan sangat serius agar insiden yang tidak diingini akan berulang lagi, yang boleh merugikan harta benda malahan nyawa masyarakat awam.

Pencegahan adalah lebih baik daripada merawat yang mana melalui penggunaan AI pencegahan seumpamanya boleh ditangani. Tidaklah kita senantiasa bersikap, sudah terhantuk baru hendak tengadah.

Sudah sampai masa kita lihat bagaimana sesebuah bandar boleh dirancang secara bijak agar bandar tersebut boleh dilihat sebagai sebuah bandar yang benar-benar pintar.


PROF MADYA DR MOHD JOHARI MOHD YUSOF ialah Dekan Fakulti Rekabentuk dan Senibina Universiti Putra Malaysia (UPM).

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.