Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Muhyiddin sokong seludup diesel?

Artikel ini sudah 21 hari diterbitkan

ULASAN | Kepada nelayan, petani dan peniaga kecil, harga diesel bagi kalian masih tetap bersubsidi. Diesel bersubsidi kekal di antara RM1.65 ke RM2.15 per-liter. Sesungguhnya mereka tidak perlu bimbang sama sekali.

Justeru serangan malam minggu yang membuatkan harga meningkat kepada RM3.35 merupakan kejutan, terutama kepada puak penyeludup. Perniagaan haram yang merompak berbilion ringgit duit rakyat sejak puluhan tahun akhirnya gulung tikar sekelip mata.

Penyasaran semula subsidi diesel merupakan sebahagian daripada reformasi fiskal dengan tekad dan keberanian yang dilakukan di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Harga diesel di Malaysia yang jauh lebih rendah berbanding semua negara jiran di Asean menjadikan Malaysia terus ‘dibuli’. Penyeludupan menyebabkan ketirisan sekurang-kurangnya lebih RM4 bilion setahun.

Di dalam negara pula, syarikat maha kaya logistik seperti Shoppe, Lazada dan banyak lagi terus membuat keuntungan jutaan ringgit. Cukai perniagaan yang dikenakan kepada mereka juga kekal rendah iaitu sekitar 15 sehingga 24 peratus. Cuba bandingkan dengan Thailand, di mana banyak diesel yang cobor ke negara berkenaan, cukai perniagaan paling rendah ialah 20 peratus.

Di samudera dalam pula, kegiatan menyeludup diesel terus dilakukan. Sangat memilukan apabila kita mendapat tahu nelayan Thailand seolah-olah ke laut untuk menangkap ikan dengan percuma dan gratis apabila minyak bagi enjin-enjin bot mereka dibiaya dengan wang rakyat Malaysia.

Barang diingat, pengkhianatan bukan sahaja dalam “Langkah Sheraton” sahaja, tapi ada di mana-mana. Tentulah rakyat umumnya yang tidak menikmati subsidi diesel kerana menggunakan petrol wajar kecewa dengan pihak yang menyeludup dan menjual diesel bersubsidi kepada nelayan asing. Keadaan di mana Malaysia terus dibuli sebegini, wajib dihentikan segera.

Malangnya, ketika sistem dan strategi sudah direncana, dan tekad politik pula sudah diambil oleh Kerajaan Madani, pemimpin pembangkang mahu mensabotajnya. Diputar-belit konon minyak bersubsidi dihapuskan sama-sekali. Sedangkan seperti yang mudah difahami rakyat, mereka yang paling terjejas ialah puak penyeludup.

Penguatkuasaan tidak akan berdaya melawan semua kegiatan haram itu. Ia akan meningkatkan lagi kos kerajaan apabila terlalu besar kakitangan penguatkuasa perlu diambil demi menjaga setiap lorong tikus, stesyen minyak yang khianat serta kartel yang membayar di setiap lapisan halangan. Mereka boleh merasuah kerana mempunyai marjin keuntungan sehingga lebih seratus peratus.

Apabila penyelarasan subsidi dilakukan, hampir semua kemungkinan penyeludupan pun tertutup. Perbezaan harga minyak di Malaysia dengan negara jiran sudah sangat menipis. Maka jumlah keuntungan juga sangat kecil,. Maka tidak berbaloi untuk penyeludup meneruskan kegiatan haram mereka.

Dalam beberapa hari ini, kita dapat melihat bagaimana keanehan muncul bilamana pimpinan PN bersuara seakan-akan mereka menjadi pembela kepada puak penyeludup. Kenyataan Pengerusi PN Muhyiddin Yassin yang menggambarkan rasa sedih yang kononnya bukan kelapang, menjadi tanda tanya? Apakah dia bersedih bagi pihak penyeludup durjana?

Kalau PN boleh menerima duit judi sepertimana yang pernah didedahkan PM Anwar, lantas tidak mustahil rakyat beranggapan PN juga boleh menerima duit penyeludup bagi kegiatan politik mereka. Bukankah begitu?

Meski menjadi PM dalam tempoh singkat, Muhyiddin tetap pernah menjadi PM. Dia sebenarnya tahu bahawa subsidi pukal telah meletakkan ekonomi dan fiskal negara dalam keadaan bahaya.

Muhyiddin sendiri misalnya pernah mengusulkan agar subsidi bersasar dilakukan. Sekarang dia tukar cakap, dan kononnya penyasaran subsidi perlu dilakukan berdikit-dikit pula.

Tidak ada gunanya kalau harga diesel hanya meningkat lima-enam puluh sen. Di sana nanti tetap memberi ruang kepada penyeludup meneruskan kegiatan haram, meski dengan keuntungan yang mula mengurang.

Walaupun kurang, para penyeludup tetap punya marjin keuntungan munasabah dan boleh membawa pulang wang haram yang banyak. Mereka hanya perlu menyeludup dengan lebih banyak lagi bagi mendapat pulangan yang sama sepertimana sebelum ini. Apakah ini yang membuat orang seperti Muhyiddin bermuram durja?

Sekali rentap dengan rentapan yang kuat, di situlah yang akan membunuh penyeludup dan pengkhianat ekonomi negara sama sekali! Itulah juga bezanya Muhyiddin dengan Anwar, dengan Anwar mempunyai tekad politik yang bulat untuk membuat rentapan kuat berbanding Muhyiddin. Alang-alang menyeluk pekasa, dan ingin membela rakyat, biarlah tindakan itu sampai ke pangkal lengan.

Dalam pertimbangan demi menyelamatkan ekonomi Malaysia, popular atau tidak bukan perkara pokok. Apa yang mustahak ialah Anwar perlu mengambil langkah dan keputusan yang betul. Kesan positif mungkin tidak wujud dalam satu malam, tetapi mengambil sedikit masa bagi membuktikan reformasi fiskal yang sedang digerakkan oleh kerajaan pasti memberi kebaikan kepada rakyat dan negara.

Penyasaran subsidi juga akan hanya berkesan apabila rasuah juga dapat dibenteras. Selain itu, rakyat juga sedang mengukur apakah hutang negara yang mencecah RM1.5 trilion sepertimana yang membengkak di era Muhyiddin dapat mula dikurangkan. Sekiranya kedua ukuran ini dapat konsisten dilaksanakan oleh pentabiran Anwar, ia sudah cukup menyakinkan bahawa pertumbuhan dan ekonomi Malaysia akan kembali diletakkan di landasan yang tepat dan kukuh.

Rakyat dapat melihat betapa demi kepentingan negara, Anwar melaksanakan penyasaran subsidi diesel ketika akan berlaku Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap. PRK ini bukan melibatkan parti lain sama ada di dalam PH mahupun BN, tetapi melibatkan parti pimpinan Anwar sendiri, iaitu PKR.

Maknanya, Anwar sama sekali tidak mempertaruhkan parti-parti sahabat sama ada di dalam PH atau BN—tidak kiralah sama ada DAP, Amanah, bahkan Umno. Dia sesungguhnya meletakkan nasib partinya sendiri sebagai taruhan populariti di tengah kepulan serangan musuh politik dan parti pembangkang di Sungai Bakap kali ini.

Sebagai PM yang pernah keluar-masuk penjara, melalui jejak perjuangan yang jauh lebih getir ketimbang Muhyiddin atau mana-mana pemimpin pembangkang yang pengecut, Anwar nampaknya benar-benar meletakkan keyakinan kepada kebijaksanaan dan kewarasan rakyat untuk mempertimbang keputusannya.

Kalau kebijaksanaan rakyat khususnya di Sungai Bakap dapat dipelihara serta tidak tenggelam dalam sentimen palsu buatan pemimpin pembangkang, tidak mustahil PH-BN mampu merampas DUN Sungai Bakap dengan cukup bergaya.

Ketika rakyat mulai sedar bahawa suara PN adalah suara penyeludup dan pengkhianat ekonomi negara, mereka akan memberi pengajaran besar bahawa nasib dan masa depan rakyat tidak boleh dipersenda semudah-mudahnya.


HASMI HASHIM atau turut dikenali sebagai Budi Hekayat ialah seorang penulis lirik.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.