Skip to main
Logo Malaysiakini

KOMENTAR | Kes Zayn Rayyan yang ‘mengajar’ masyarakat

Artikel ini sudah 5 bulan diterbitkan

KOMENTAR | Umumnya tahap kesedaran rakyat Malaysia terhadap autisme masih rendah, sebelum ini malah ada yang tidak ketahui apa itu autisme dan perkataannya sesuatu yang terlalu asing.

Bahkan seorang ahli parlimen yang bergelar doktor pun mengaitkan pemakanan sebagai punca autisme sehingga terpaksa memohon maaf dan menarik balik kenyataannya.

Tidak ada bukti makanan menjadi asbab autisme, malah sehingga kini tiada kajian tepat yang menemukan punca sebenar autisme, titik.

Namun, tulisan ini tidak berhasrat menceritakan lanjut apa itu austime, bagaimana dan apa puncanya.

Lalu kebiasaannya mereka yang mempunyai anak-anak autistik akan reda dan penerima seadanya bahawa anak istimewa adalah anugerah tuhan dan ujian yang tersembunyi seribu satu hikmah.

Di sebalik hikmah itu tergumpal segunung kesabaran, berselirat kelelahan, bertimpa-timpa tekanan, bergelombang emosi dan beragam imaginasi.

Itu semua harus diurus dengan cekal, perlu lebih cekal daripada seorang ayah yang dibebani tugas demi mencari rezeki, harus lebih cekal daripada pasangan suami-isteri yang tidak dikurniakan cahaya mata.

Tidak keterlaluan kalau dikatakan ibu ayah mempunyai anak-anak autistik adalah berganda-ganda kekuatan diperlukan berbanding orang lain dari pelbagai sisi hidup dan mati. Ia tidak mudah dan banyak kekangan yang akan dihadapi.

Merentap ulu hati

Mutakhir ini, masyarakat Malaysia menjadi celik autisme. Orang kita mula semakin tahu apa itu autisme atau sekurang-kurang sudah mendengar perkataan autisme.

Ia selepas berlaku kehilangan dan pembunuhan seorang kanak-kanak autistik bernama Zayn Rayyan Abdul Matiin.

Kisah yang menjerut hati nubari semua orang, kepiluan yang merentap ulu hati dan meningkatkan kesedaran banyak orang.

Zayn Rayyan pergi meninggalkan kita dengan mengajar masyarakat untuk membiasakan mata dan telinga dengan perkataan autisme.

Tulisan ini juga tidak berhasrat untuk mengulas kejadian yang menimpa Zayn Rayyan seperti mana lahirnya pakar-pakar autisme dan penyiasat segera di Tik Tok dan media-media sosial lain.

Namun, atas pengajaran yang ditinggalkan mangsa tragedi hitam ini sewajarnya membuka mata khususnya pihak kerajaan dalam usaha memberi sokongan pelbagai aspek terhadap golongan autistik, keluarga dan persekitarannya.

Bayangkan temujanji rutin dengan doktor di hospital kerajaan untuk pemantauan perkembangan anak-anak autistik pun memberi cabaran berat kepada ibu bapa.

Gambar fail, program kesedaran masyarakat mengenai autisme.

Temujanji biasanya secara bulanan dikatakan mengambil masa yang agak lama untuk menunggu giliran berbanding masa pertemuan hanya sekitar 10 hingga 15 minit.

Masa menunggu itulah yang mencabar kerana ragam anak-anak autistik yang aktif misalnya sukar dikawal. Dalam tempoh menunggu itu pun macam-macam kemungkinan boleh berlaku.

Di Malaysia kerajaan juga belum menyediakan keperluan yang khusus secara meluas untuk anak-anak istimewa, seperti dilakukan negara-negara maju. Walaupun banyak pusat-pusat intervensi awal disediakan oleh pihak swasta namun kosnya sesuai untuk golongan M40 dan T20.

Kewujudan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga tidak mengkhususnya keperluan autisme sebaliknya bercampur golongan orang kurang upaya (OKU) kategori lain.

Kenapa kena sedar?

PPKD sekurang-kurangnya sedikit sebanyak melengkapkan keperluan itu, terutama bagi golongan B40 walaupun pengambilannya mempunyai had tertentu.

Begitu juga program pendidikan khas integrasi (PKKI) yang diwujudkan di sekolah-sekolah kerajaan, ia belum begitu meluas juga tidak menumpukan keperluan kepada golongan autistik semata-mata.

Malah kemasukan ke PKKI mempunyai syarat tertentu yang perlu dipenuhi.

Masih ada inisiatif lain diambil kerajaan, bahkan badan bukan kerajaan (NGO) namun setakat ini secara umum boleh dikatakan belum mencukupi berbanding keperluannya.

Selepas tercetusnya kes Zayn Rayyan yang mengajar dan menyedarkan masyarakat mengenai autisme, persoalannya - mengapa masyarakat perlukan kesedaran terhadap anak-anak autistik? Juga golongan OKU lain.

Ia penting agar golongan itu tidak tertindas, terabai, diterima baik dalam masyarakat dan diberi sokongan. Bukan sahaja anak-anak itu bahkan keluarga terdekatnya.

Janganlah dicemuh jika melihat seorang kanak-kanak mengamuk di kedai makan, jangan rasa pelik melihat kanak-kanak tergolek meraung-raung di pusat membeli-belah atau jangan dimarah secara tiba-tiba ada kanak-kanak menghampiri kita atau bahasa mudahnya mengganggu kita.

Suara Along

Tingkah laku begitu adalah tabiat biasa bagi anak-anak khususnya autistik yang kadang-kadang terlepas daripada kawalan penjaga mereka.

Dengan pengajaran ditinggalkan Zayn Rayyan, sepatutnya pemerkasaan terhadap golongan berkeperluan khas itu terus mendapat lebih perhatian dalam aspek sokongan, kemudahan, bantuan, pendidikan dan masa depan.

Penulis profilik Mohamad Kholid Hamzah dan Saripah Bakar dalam buku bertajuk ‘Suara Along’ yang mengisahkan kehidupan bersama anak istimewanya menegaskan kerisauan mereka terhadap nasib anaknya sekiranya mereka tiada lagi di dunia ini.

Tetapi kerisauan itu cuba dilenyapkan bersandarkan takdir tuhan yang maha pengasih.

Ia satu persoalan yang sering menghantui dan sukar dijawab oleh ibu bapa anak-anak autistik. Persoalan tanpa jawapan dan terlalu kompleks.

Di Malaysia sehingga kini merekodkan hampir 40,000 golongan OKU bagi kategori autistik, ia bukan sekadar angka.

Namun bersediakah masyarakat menerima kehadiran mereka untuk disantuni dengan ikhlas dan diberi hak yang sewajarnya?


N FAIZAL GHAZALI ialah wartawan Malaysiakini.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.