Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Isu Blackrock dan IMF ulang tohmahan tiga dekad lalu

ULASAN | Serangan yang ditujukan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim mutakhir ini nampaknya cerita sama macam tohmah yang direka-reka hampir tiga dekad lalu.

Sebelum dipecat daripada kerajaan pada 1998, musuh-musuh Anwar—termasuklah perdana menteri ketika itu—telah menuduh Anwar sebagai “ejen kuasa asing”. Tuduhan berkenaan tidak perlu sebarang bukti. Ia memadai dengan memperlihatkan gambar Anwar berjalan di atas karpet merah bersama Naib Presiden Amerika Syarikat, Al Gore dalam sambutan rasmi ketika Anwar selaku timbalan perdana menteri melawat negara berkenaan.

Di sisi lain, hubungan Anwar dengan pemimpin Asia dan dunia Islam cuba disembunyikan. Ini termasuklah keakraban Anwar dengan mantan presiden Indonesia BJ Habibie dan Allahyarham Gus Dur; persaudaraan Anwar dengan Presiden Turkiye, Erdogan; dengan  pengerusi Kesatuan Ulama Muslim Antarabangsa Allahyarham Yusuf Qardawi; sehinggalah dengan pemimpin PLO Yasser Arafat—semuanya disembunyikan dalam laci ketua pengarang media tertentu.

Sebelum Anwar dipecat pun, sudah dimainkan naratif bahawa beliau yang menjadi Menteri Kewangan waktu itu tunduk dengan kemahuan Tabungan Kewangan Antarabangsa (IMF). Pakcik dan makcik di kampung terpinga-pinga. Entah kejadah apa “IMF” itu?

Dalam kebuntuan orang ramai, lalu dipropagandakan yang IMF itu ertinya Barat, dan Barat adalah Yahudi. Maka menurut tukang-tukang dakyah, orang Melayu perlu melawan Anwar kerana Anwar telah jadi ejen Yahudi yang mahu menjual negara!

Sampai detik ini, tidak terbukti yang Anwar menggadai seinci pun kedaulatan. Dalam isu kehilangan Pulau Batu Puteh, ia melibatkan mantan perdana menteri yang lain. Bukannya Anwar.

Mahathir jumpa Soros

Beberapa minggu sudah, nama IMF dibangkitkan semula—selepas diamati, peluru serangan datangnya dari kubu puak penentang yang sama sepertimana lebih dua dekad lalu. Ratib “IMF-IMF-IMF” mula dizikirkan oleh kuncu-kuncu puak penentang itu di ceramah-ceramah politik atau di Tiktok.

Secara fakta, beberapa negara yang sama seperti Malaysia, yang terkena serangan mata wang dalam krisis kewangan 1997-98, memang telah meminjam dana IMF. Pun begitu, perlu dijelaskan,negara seperti Indionesia dan Thailand yang memakai dana IMF dapat segera melepasi kegawatan dan krisis ekonomi lebih awal daripada Malaysia. Amalan kapitalisme-kroni yang berakar berdekad-dekad pelan-pelan mati.

Apa yang terjadi ialah Dr Mahathir Mohamad—yang diangkat media massa satu ketika dahulu kerana kononnya berani mengecam George Soros sebagai “penyanyak mata wang”—akhirnya pada awal 2000-an telah bertemu dan melutut meminta bantuan Yahudi Soros itu. Dan tidak ada satu pun rekod menunjukkan Anwar meminjam atau menerima dana IMF, dahulu dan sekarang!

Justeru, langkah menarik balik subsidi yang dinikmati oleh golongan maha kaya bukanlah kerana Anwar dan kerajaan pimpinannya tunduk kepada Soros, menyembah Barat, diikat geng Yahudi-Zionis mahupun konon menerima preskripsi IMF seperti dituduh.

Dasar penyasaran subsidi tidak lain merupakan gambaran teras gagasan keadilan ekonomi Islam, yakni sebuah cita yang wujud zaman berzaman sejak Nabi Muhammad SAW menjadi pemimpin agung di Madinah.

Warkah Saidina Ali

Cita itu kemudian diteruskan oleh para sahabat yang empat. Buktinya antara lain ialah surat Saidina Ali Ibn Abu Talib (602-661 M) kepada gabenor Mesir Malik al-Ashtar yang selalu dipetik oleh Anwar, termasuk di hadapan penjawat awam.

Selain soal urus tadbir, Saidina Ali memang sangat serius dalam menitikberatkan kepentingan menjaga hak golongan fakir miskin. Kepada al-Ashtar, Ali menulis: “Kamu mesti menentukan bahagian mereka (orang-orang miskin) dari perbendaharaan kerajaan.” Maksudnya dalam keseluruhan dana negara, wajib diperuntukkan sejumlah dana khusus demi program membantu rakyat termiskin.

Pendirian dan nasihat Saidina Ali kekal konsisten dalam warkah yang lain, yang dihantar kepada sahabatnya, Kumail Ibn Ziyad dengan peringatan bahawa “kemiskinan itu adalah maut yang paling dashyat.”

Sama ada nasihat Saidina Ali yang lebih 1,400 tahun lalu atau dasar Kerajaan Madani hari ini; keharusan mengimbangi kesenjangan ekonomi kaya-miskin akhirnya dapat kita temui dan berakar di dalam al-Quran, dengan firman Tuhan “[s]upaya harta itu jangan beredar di antara orang-orang kaya sahaja di antara kamu.” (59:7)

Siapakah yang boleh menafikan bahawa langkah-langkah kerajaan pimpinan Anwar—seperti penyasaran subsidi eletrik atau diesel yang dicabut daripada kelompok maha kaya dan penyeludup itu—tidak sepadan dengan ekonomi Islam saranan al-Quran? Dan ia sememangnya tidak ada kena-mengena langsung dengan cadangan atau preskripsi IMF seperti tohmahan puak penentang.

Tapi agak pelik juga apabila usaha Islami sebegini mendapat tentangan, termasuk di kalangan yang mendabik dada sebagai ‘pejuang Islam’. Di sini nampaknya seakan-akan puak penentang itulah yang terlebih berkhayal sampai merapu-rapu, sampai ke IMF, Yahudi-Zionis dan segala bagai. Mereka cuba mencipta naratif tapi ia berasaskan khayalan, bukan fakta.

Apa yang terdedah, di era Muhyiddin Yassin menjadi perdana menteri selama 16 bulan, beliau rupa-rupanya yang menyerahkan dana sejumlah AS&600 juta terus kepada Blackrock untuk diurus. Bukankah urus niaga langsung sebegitu nampak telah lebih meletakkan KWSP berada di bawah pengaruh asing?

Dan itulah juga agaknya alasan Muhyiddin sekali lagi tidak hadir sesi Jawapan Perdana Menteri di parlimen pada Selasa, 25 Jun lalu. Mungkin sudah terdetik di hatinya yang Anwar akan menempelak dia dengan dana KWSP yang diberikan kepada Blackrock pada 2021. 

Kepada yang selalu berhadapan dengan cerita dongeng dan khayalan puak penentang, peluru-peluru kapur sedemikian sengaja ditembak ke langit untuk menimbulkan percikan api yang mahu menarik perhatian rakyat. Tujuannya bagi mengalih pandangan masyarakat agar lupa isu-isu yang jelas di depan seperti “Menara Ilham,” “menantu hilang,” “kaum keluarga yang tidak siap laporan kekayaan” sehinggalah “anak yang memesongkan kuota minyak masak bersubsidi.”

Seperti ingatan dalam surat Saidina Ali, kelompok sebegini bolehlah kita yakini sebagai yang “paling muslihat dalam meminta sesuatu”. Meskipun telah dijelaskan dengan fakta—termasuk dalam isu Blackrock dan IMF—mereka tetap “kurang menghargai penjelasan berakal sewaktu ditolak permintaan dan kurang tabah menghadapi kesusahan.”


HASMI HASHIM atau Budi Hekayat seorang penulis lirik dan otai komuniti Jalan Telawi.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang redaksi Malaysiakini.