ULASAN | Gagalnya kerajaan menyampaikan maklumat
ULASAN | Kerajaan Perpaduan kalah di Sungai Bakap. Majoriti PN juga bertambah. Walaupun penganalisis politik berhujah dengan macam-macam faktor kekalahan, pertambahan undi atau pengurangan undi, hakikatnya Kerajaan Perpaduan kalah.
Kalah ketika ia menjadi kerajaan pusat dan kerajaan negeri. Kalah ketika ia mempunyai segala kelebihan dari segi akses, kewangan dan jentera.
Menjadi kerajaan tidak semudah dan seenteng menjadi pembangkang. Dalam mana-mana pilihan raya, pembangkang sentiasa menjadi calon underdog yang tiada tekanan.
Calon kerajaan adalah calon favourite, tetapi penuh dengan tekanan. Selalunya calon kerajaan berada dalam posisi defensif, manakala calon pembangkang dalam posisi ofensif.
Defensif bemaksud ia berhadapan segala hunjaman hujah oleh pembangkang atas segala inisiatif, program, projek dan dasar yang diperkenalkannya.
Apa-apa sahaja kelemahan yang ada boleh dimanipulasikan sebaiknya sehingga yang putih nampak hitam, yang bersih nampak kotor.
Tak semua boleh menjual
Justeru, dalam tempoh pilihan raya, tugas paling utama bagi kerajaan adalah pengurusan maklumat. Sebenarnya bukan dalam tempoh pilihan raya sahaja, tetapi setiap masa.
Usaha baik yang kerajaan lakukan tidak akan nampak baik tanpa penerangan yang baik. Barang yang baik tidak akan terjual tanpa promosi yang baik.
Perkhidmatan yang baik tidak akan terjual tanpa iklan yang baik.
Demikianlah dalam politik. Usaha, inisiatif dan dasar yang baik tidak akan nampak kebaikannya jika maklumat tentangnya tidak disampaikan dengan baik, bijak dan halus.
“Sell me this pen!” skrip ringkas dalam filem Wolf of the Wall Street lakonan Leonardo DiCaprio adalah contoh mudah bagaimana cara untuk menjual barang.
Pen adalah alat tulis paling diperlukan, tetapi tidak semua orang dapat menjualnya dan tidak semua orang pula yang dapat menjualnya dalam harga yang ditetapkan berdasarkan atributnya.
Di sinilah pentingnya the power of words atau persuasion. Tidaklah juga ia terbatas kepada words sahaja, termasuklah juga the power of actions.
Dalam menyampai dan menyebarkan maklumat, atau dalam bahasa yang lebih terbuka – propaganda, perlu ada penyerang, pertahanan dan penerang.
Kerja penyerang adalah untuk menyerang pihak lawan dengan pelbagai isu dan menyerang titik lemahnya; kerja pertahanan adalah mempertahankan kubu sendiri ketika diasak oleh pihak lawan; manakala kerja penerang adalah untuk memberi perncerahan terhadap segala isu lain yang berlegar di sekitar tindakan, pengumuman dan deklarasi kubu sendiri.
Mengambil PRK Sungai Bakap sebagai contoh, berapa kerapkah jentera penerangan parti kerajaan perpaduan memberikan pencerahan terhadap isu diesel dan Blackrock misalnya?
Kalau ada pun, bagaimanakah respon dan reaksi masyarakat setempat dalam menerimanya?
Perlu diingat, dalam perang pilihan raya zaman moden ini, kempen tidak sepatutnya bertumpu di kawasan pilihan raya sahaja.
Sebabnya, hari ini mood dan sentimen pengundi di sesuatu kawasan turut dipengaruhi oleh mood dan sentimen umum yang terdapat di luar persekitarannya.
Pengaruh emosi pengundi
Perkembangan di media, khususnya di media sosial, dapat mempengaruhi mood dan sentimen para pengundi walaupun ia berada di luar kawasan pengundian.
Justeru, jentera penerangan parti bukan hanya perlu berfungsi secara lokal, tetapi juga secara nasional.
Sebagai tambahan, dalam pilihan raya, pengundi kepingin feel-good factor. Faktor ini boleh hadir dalam bentuk inisiatif dan dasar kerajaan mahupun program setempat yang diadakan sepanjang tempoh pilihan raya.
Perkara ini juga perlu diiringi oleh watak yang dapat mempengaruhi emosi para pengundi.
Percayalah, selain fakta, data dan rasional, emosi memainkan peranan yang sangat penting dalam mempengaruhi kecenderungan pengundi.
Emosi ini diledakkan daripada mata yang memandang dan telinga yang mendengar. Watak hero yang ditampilkan oleh parti yang bertanding amat penting bagi tujuan mempengaruhi emosi.
Dalam hal ini, penulis suka untuk memberikan contoh Pengarah Pilihan Raya PAS, iaitu Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor yang tampil sebagai watak hero di Sungai Bakap.
Sehari sebelum hari mengundi, Sanusi bergumpal dengan para pemuda India di Sungai Bakap bermain kabaddi, dengan karakter yang kelihatan ‘sempoi’, mesra dan tanpa protokol.
Videonya tersebar luas dengan beribu kongsian berserta puluhan ribu tanda suka. Meskipun ia bukanlah faktor utama kemenangan PN, impak daripada kemunculan dan kewujudan watak seperti Sanusi tidaklah sama sekali boleh diperkecilkan.
Ia diburukkan pula dengan ucapan oleh Menteri Ekonomi Rafizi Ramli yang mengeluarkan kata-kata seperti ‘bodoh’ dan ‘bahlul’ menjelang hari mengundi.
Amaran keras: Usah sesekali memperkecil-kecilkan intelek dan menghina audiens dengan kata-kata yang buruk sebegitu.
Memanglah ia mengundang gelak ketawa ketika diucapkannya, tetapi di luar sana berasap telinga orang mendengarnya, malah berpotensi pula mengubah pendirian golongan atas pagar yang menunggu masa untuk menetapkan pendirian mereka.
Ini kesilapan besar yang dilakukan oleh menteri tersebut.
Secara umum, kekalahan parti kerajaan perpaduan dalam PRK Sungai Bakap adalah manifestasi daripada kegagalan mereka untuk mengurus dan mengkordinasikan maklumat dengan sebaiknya.
Demikian jugalah yang ditulis dan dikomen oleh kebanyakan orang di media sosial.
Ini zaman maklumat. Sesiapa yang menguasai maklumat, ia menguasai dunia.
Sekiranya kelemahan ini berpanjangan tanpa sebarang penawar, tidak mustahil parti dalam kerajaan hari ini bakal berdepan dengan siri kekalahan.
Berfikir dan bertindaklah secara pragmatik. Manusia bukan hanya mahukan data dan fakta, lebih daripada itu, manusia ada perasaan, emosi dan sentimen yang wajib disantuni.
Ketika ramai yang menumpukan kepada ethos dan logos, pemanipulasi pathos tersenyum menyambut kemenangan.
SAHUL HAMID MOHAMED MAIDDIN adalah pensyarah kanan di Jabatan Sejarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi).
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai