Skip to main
Logo Malaysiakini

K’jaan akan beri pengiktirafan khas kepada Nicol David

Artikel ini sudah 6 tahun diterbitkan

Kerajaan akan memberi pengiktirafan khas kepada ratu skuasy negara Nicol Ann David yang mengumumkan persaraannya semalam selepas 20 tahun berkecimpung dalam sukan itu.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata langkah itu bagi menghargai jasa Nicol yang mengharumkan nama negara dipersada antarabangsa.

“Saya dah arahkan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) untuk berikan insentif khas, kalau mungkin tak boleh dari segi bentuk kewangan tapi diberikan geran untuk teruskan perancangan dia ke hadapan, apa sahaja pengumuman (rancangan selepas persaraan) itu, biar dia sendiri yang buat,” katanya.

Syed Saddiq berkata demikian ketika diminta mengulas peraraan Nicol selepas sesi townhall parlimen Belia Malaysia (PBM) di Kuala Lumpur, hari ini.

Pagi tadi, Syed Saddiq menerusi ciapan di Twitternya berharap Nicol dapat terus memberi inspirasi dalam sukan skuasy.

“Anda idola saya sejak kecil hingga besar. Saya yakin ia tidak akan berubah.

“Saya akan menanti “pelan persaraan” anda. Teruskan memberi inspirasi,” ciapnya.

Nicol, 36 yang juga anak kelahiran Pulau Pinang itu menjadi pemain wanita Asia pertama berada dalam ranking nombor satu Persatuan Pemain Skuasy Wanita Antarabangsa (Wispa) pada 2006.

Sepanjang karier beliau lima kali berturut-turut menjuarai Terbuka Dunia pada 2005 hingga 2010, selain menang beberapa kejohanan antarabangsa.

Ditanya, mengapa Nicol mendapat habuan istimewa berbanding atlet yang juga berjuang untuk sukan negara, termasuk ada di antara mereka yang kini terpaksa menjual buah demi menyara hidup, Syed Saddiq berkata pihaknya akan membantu atlet lain yang terbiar.

“Kita cuba untuk ikut right standart. Kalau kita lihat sumbangan dan pada masa sama kalau ada atlet dibiarkan itu tanggungjawab kita untuk membantu.

“Masalah saudara bangkitkan tu (berkaitan atlet terbiar), saya dah jumpa dengan mereka dan rakan MSN untuk cari jalan ke hadapan.

“Tak akan ada atlet yang tertinggal dibelakang. Kalau ikut perubahan dasar, saya rasa dalam bulan ni akan ada perbentangan kertas dari KBS kepada menteri beri perlindungan khas kepada penggiat sukan kita, kita akan take care network kepada mereka,” katanya.