Skip to main
Logo Malaysiakini

'Saya minta maaf tak beri emas Olimpik buat negara'

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Meskipun telah menyumbangkan puluhan pingat buat Malaysia, jaguh badminton negara, Lee Chong Wei tetap memohon maaf buat rakyat Malaysia atas keputusannya untuk menggantung raket.

Keputusan itu bermakna Chong Wei tidak akan beraksi di Olimpik yang akan berlangsung di Tokyo - satu-satunya temasya sukan terbesar yang belum berjaya ditakluknya untuk meraih pingat emas.

“Ya. Saya dah buat keputusan untuk berhenti. Saya minta maaf saya tak dapat ke Tokyo kali ini.

“Dan saya minta maaf saya tak dapat hadiahkan emas Olimpik (buat negara). Tapi saya tak ada penyesalan, sebab saya dah buat yang terbaik yang saya mampu,” kata Chong Wei ketika berkongsi perasaannya di Facebook.

Buat ahli keluarga, rakan dan penyokongnya yang telah menjadi sebahagian daripada hidupnya selama ini, Chong Wei mengucapkan terima kasih dengan sepenuh hatinya.

Tengah hari tadi, Chong Wei mengumumkan persaraanya selepas 19 tahun berkecimpung dalam sukan itu.

Tidak dapat menahan sebak, Chong Wei dilihat menekap mukanya ketika pengumuman tadi sehingga menyebabkan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut menyeka air mata.

Berkongsi detik bertarung dengan kanser yang dideritainya, Chong Wei berkata dia menyangka sempat pulih sepenuhnya untuk cuba sekali lagi mencari rentak dalam badminton.

Kata Chong Wei, dia tidak mahu bersara dengan sesalan di dada. Tambahnya, dia hanyalah seorang yang sukakan badminton, seseorang yang sayangkan negara, dan dia bimbang tak dapat menghadiahkan pingat emas Olimpik buat Malaysia.

“Jadi, bila saya disahkan bebas daripada kanser, saya ambil raket dan berlatih.

"Selepas beberapa hari membuat latihan ringan, saya jumpa doktor untuk dapat pelepasan supaya dapat membuat latihan yang lebih berat. Di situlah saya mendapat tamparan hebat.

“Daripada imbasan, doktor geleng kepala. Katanya, kalau saya terus berlatih, ia (kanser) berisiko kembali. Mew Choo rebah, menangis. Dia takut saya degil dan terus kejar impian saya.

“Saya tak tahu nak buat apa. Macam mana saya nak gantung raket setelah hampir 20 tahun bermain badminton secara sungguh-sungguh? Macam mana dengan impian Olimpik saya?” katanya lagi.

Bagaimanapun, kata Chong Wei, dia kini akan menumpukan untuk menjadi seorang bapa.

“Kemudian, saya tersedar. Saya tak sepatutnya terlalu mementingkan diri. Saya sudah bermain untuk diri saya dan negara. Kali ini, saya mahu memainkan peranan sebagai seorang ayah pula, untuk masa yang lama.

“Saya mahu lihat mereka membesar jadi lelaki yang baik, berkahwin, menimang anak. Saya mahu jaga isteri saya bila dia sudah tua,” katanya lagi.

Tambahnya lagi, dia berharap nama Lee Chong Wei akan memberi inspirasi buat semua orang seperti semua orang memberikan inspirasi buat dirinya.

Tanpa keluarga, ahli pasukan, jurulatih dan penyokongnya, kata Chong Wei, dia tidak akan dapat mencapai apa-apa pun.

Jaguh badminton itu juga sempat meninggalkan pesanan buat rakan-rakan dan lawan dalam sukan badminton.

“Untuk kawan-kawan badminton - Lin Dan, Taufik Hidayat, Peter Gade dan Hyun Il - ya, masa saya dah tamat.

"Terima kasih untuk pertarungan hebat kita. Ia masa yang hebat, tapi saya rasa masa kita sudah hendak sampai ke penghujung.

“Momota, Victor, Yuqi dan Zi Jia, teruskan perjuangan ini. Biar satu dunia sedar badminton adalah sukan terbaik atas dunia,” coretnya lagi.

Buat pemain badminton negara pula, pesan Chong Wei, jangan sesekali mengalah dalam mengejar impian.

Katanya, ada beribu-ribu rakyat Malaysia yang mendoakan kejayaan mereka, justeru mereka harus berlatih bersungguh-sungguh dan sentiasa cuba mengalahkan ‘rekod semalam’.

“Jangka hayat seorang ahli sukan ini pendek. Jangan berakhir dengan penyesalan. Di luar sana, ada budak lima tahun- ada Ali, Muthu dan Ah Seng- yang mengidolakan kamu, mereka jadikan kamu adiwira Malaysia.

"Jangan kecewakan mereka. Bermainlah untuk bendera kita, bermainlah untuk Negaraku," katanya lagi.

Sepanjang kariernya, Lee Chong Wei berjaya menghimpun tiga pingat perak Sukan Olimpik (2008, 2012 dan 2016), tiga kali muncul sebagai naib juara dunia (2011, 2013 dan 2015).

Chong Wei juga muncul sebagai satu-satunya pemenang terbanyak gelaran Super Series sebanyak 46 kali.

“Saya tidak ada sesalan. Ketika saya mula-mula main badminton, saya hanya mahu mewakili Malaysia. Saya percaya saya berjaya melakukannya dengan rasa bangga dan hormat.

“Saya berhenti di sini. Terima kasih untuk anda semua. Lee Chong Wei lapor keluar,” katanya mengakhiri coretan.