'Beritahu Ramos jangan main Instagram setiap hari'
Real Madrid mengadakan perhimpunan agungnya semalam yang merupakan platform bagi perwakilan untuk membincangkan dan memutuskan perkara berkaitan kelab bola sepak Sepanyol itu.
Bagaimanapun di tengah-tengah perbincangan serius, ia bertukar sekejap menjadi medan untuk ahli membuat aduan-aduan yang boleh dikatakan pelik terhadap kapten pasukan Sergio Ramos.
"Beritahu Ramos jangan main Instagram setiap hari," kata ahli 1776, Jesus Maria Lopez Gomez, seperti dipetik laman sukan Sepanyol, Marca.
"Hari itu dia kelihatan seperti pelancong Sweden dengan topi merah jambunya," katanya lagi.
Bagaimanapun luahan itu tidak disenangi presiden kelab Florentino Perez yang berkata kritikan terhadap pemain perlu bertumpu kepada pencapaian di padang.
"Kalau anda mahu bercakap tentang Ramos, cakap tentang jaringannya di Lisbon," katanya merujuk jaringan pemain itu di minit kecederaan di final Liga Juara-juara Eropah 2014 ketika menentang musuh ketat, Atletico Madrid.
Jaringan itu menyebabkan Real Madrid berjaya menyamakan kedudukan selepas ketinggalan 1-0 menentang Athletico Madrid. Los Blancos kemudian menang dengan keputusan 4-1.
Bagaimanapun Gomez membangkitkan pula tindakan Ramos yang membuat rakaman untuk rancangan realitinya di Madrid ketika pasukan itu tewas di tangan Ajax Amsterdam baru-baru ini.
"Macam mana ketika Madrid sedang tewas dengan Ajax, kapten pasukan sedang membuat rakaman rancangan realiti di (stadium) Bernabeu?" soalnya.
Ramos memang dikenali sebagai pemain bola sepak yang kerap berkongsi kehidupan sehariannya di Instagram.
Dia mempunyai lebih 34 juta pengikut dan telah memuat naik 1,500 gambar.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai