Daren cipta kejutan, singkirkan Lin Dan dalam 43 minit
Pemain profesional negara, Liew Daren mencipta kejutan apabila buat pertama kali menyingkirkan bintang badminton dunia, Lin Dan, pada pusingan pertama Kejohanan Terbuka Korea di Incheon, Korea Selatan, hari ini.
Pemain perseorangan berusia 32 tahun itu mengalahkan juara dunia lima kali dari China itu 21-19, 21-14 dalam masa 43 minit selepas kalah dua kali pada pertemuan sebelum ini pada Piala Thomas 2012 dan Terbuka Jepun pada 2014.
“Hari ini saya bermain dengan lebih baik berbanding beberapa kejohanan sebelum ini. Harap dapat meningkatkan prestasi serta memperbaiki permainan selepas ini. Bagaimanapun, hari ini keadaan tidak begitu selesa kerana menghidap selesema.
“Harap dapat bermain dengan baik perlawanan demi perlawanan selepas ini. Saya tidak memikirkan terlalu banyak apabila berdepan dengan Lin Dan tetapi cuba melakukan lebih banyak serangan,” katanya ketika dihubungi.
Daren, selaku pemain ranking ke-33 dunia, akan berdepan dengan pemain nombor 30 dunia, Parupalli Kashyap pada pusingan kedua selepas pemain India itu mengetepikan pemain Taiwan, Lu Chia Hung, 21-16, 21-16.
Pemain lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia turut melangkah ke pusingan kedua selepas dengan mudah menewaskan pemain Thailand, Suppanyu Avihingsanon, 21-7, 21-215 dalam pertarungan selama 34 minit.
Bagaimanapun, Zii Jia bakal berdepan dengan tugas getir pada pusingan kedua apabila berdepan dengan pemain pilihan ketujuh kejohanan, Viktor Axelsen pada kejohanan yang menawarkan hadiah wang tunai US$400,000 (RM1.67 juta).
Pada pertemuan pertama dengan pemain Denmark itu pada Malaysia Masters, Januari lalu, Zii Jia kalah 21-21, 22-20.
Axlsen, pemain ranking ketujuh dunia, membuka kempen dengan mengalahkan pemain China, Zhao Jun Peng, 21-12, 21-15.
Dalam pada itu, pemain perseorangan wanita negara, Soniia Cheah tersingkir seawal pusingan pertama apabila tumpas di tangan pemain Indonesia, Gregoria Mariska Tunjung, 15-21, 12-21.
Sementara itu, beregu perofesional negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong turut melangkah ke pusingan kedua dengan mengetepikan beregu negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, 16-21, 21-13, 21-16.
Mereka akan bertemu dengan pilihan pertama kejohanan, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo pada pusingan kedua selepas wakil Indonesia itu mengalahkan beregu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, 22-24, 21-10, 21-13.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai