The Bos Gaurus kini ada De Paula
LIGA M | Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) berjaya mendapatkan khidmat bekas pemain import Kuala Lumpur, Guilherme De Paula, bagi mengharungi saingan Liga Malaysia musim depan.
Pengurus Perak, Adly Shah Ahmad Tah, berkata pemain import kelahiran Brazil itu mengikat kontrak selama setahun dan akan mula menjalani latihan bersama skuad The Bos Gaurus pada 28 Dis ini.
Katanya pemilihan De Paula dibuat selepas beberapa perbincangan bersama ketua jurulatih, Mehmed Durakovic.
"Antara sebab kita pilih dia adalah berdasarkan faktor kualiti dan pengalamannya yang sebelum ini pernah beraksi bersama beberapa pasukan Liga Malaysia seperti Selangor, PDRM dan Kuala Lumpur," katanya ketika dihubungi Bernama di Ipoh hari ini.
Sebelum ini, De Paula, 33, pernah membantu pasukan Selangor menjuarai Piala Malaysia pada 2015 selain menjadi antara tunggak utama yang membawa Kuala Lumpur menjuarai saingan Liga Premier Malaysia 2017.
Selain itu, Adly berkata ketika ini skuad The Bos Gaurus dalam perancangan untuk mengikat seorang lagi pemain import untuk posisi pertahanan bagi menggantikan tempat pemain kelahiran Lubnan, Hussein El Dor yang telah ditamatkan kontrak.
"Setakat ini, kita sudah ada beberapa nama cuma belum boleh didedahkan kepada umum. Apa yang boleh saya beritahu, semua pemain ini tidak pernah beraksi dalam kancah Liga Malaysia," katanya.
Sementara itu, Perak juga sedang mengintai kelibat dua tunggak tempatan yang mempunyai reputasi tinggi untuk memperkuatkan barisan pemain sedia ada.
"Kedua-dua mereka merupakan pemain yang berpengalaman dan dikenali oleh penyokong. Kita telah buat perbincangan dengan mereka dan jika berjalan lancar mereka akan sertai Perak dalam masa terdekat," kata Adly.
Sementara itu, Presiden Pafa, Ahmad Faizal Azumu, memberi bayangan mahu mendapatkan pemain import dari Vietnam untuk menjadi sebahagian skuad negeri itu pada musim akan datang.
Menteri Besar Perak itu berkata Vietnam menunjukkan prestasi cemerlang apabila berjaya memenangi pingat emas bola sepak lelaki di Sukan SEA ke-30 selepas mengalahkan Indonesia 3-0 pada perlawanan akhir Selasa lepas.
"Saya lihat boleh tahan mereka (pemain bola sepak Vietnam) bermain. Saya beritahu kepada Mehmed pergi 'tengok-tengokkan' pemain tersebut," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah Perakku Fasa Satu kepada 54 penerima dan Pelancaran Rumah Perakku Fasa Dua di Taman Tualang Sekah di Kampar hari ini.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai