Skip to main
Logo Malaysiakini

Meluncur ombak di pantai Cherating

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Pantai Cherating di Kuantan, terus menjadi destinasi kepada peminat sukan luncur ombak melalui penganjuran acara bertaraf dunia.

Memasuki edisi ketiga tahun ini, pertandingan Safari Grom Search 2019 berjaya menarik penyertaan 62 peserta dari Malaysia, Singapura, Indonesia, India dan Perancis.

Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang Shahaniza Shamsuddin berkata penganjuran acara itu di Pantai Cherating memberi banyak manfaat kepada penduduk tempatan di samping memberi pendedahan sukan berkenaan kepada generasi muda.

"Ini ialah satu aktiviti yang dapat tingkatkan industri pelancongan terutama pada musim monsun.

"Kalau dulu, musim monsun orang tak keluar kerana tak ada aktiviti tapi dengan adanya aktiviti meluncur ini yang memang sesuai dilakukan pada musim monsun dan cuaca seperti ini, ia akan menarik ramai peluncur dalam dan luar negara," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan acara anjuran bersama Pejabat Pelancongan dan Kebudayaan negeri Pahang, Tourism Pahang serta Safari Xtreme Sports itu, di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengarah Pejabat Pelancongan dan Kebudayaan negeri Pahang Datuk Idris Yahya.

Beliau berkata peserta bertanding dalam empat kategori iaitu Grom Boy dan Grom Girl bagi peserta 16 tahun ke bawah manakala Junior Open dan Local Open bagi peserta 21 tahun ke bawah, bermula semalam sehingga esok.

Sementara itu, Idris berkata Pantai Cherating sentiasa mendapat maklum balas positif daripada peserta dari luar negara yang pernah meluncur ombak di situ.

"Pantai Cherating memiliki tarikan tersendiri dalam aspek kekuatan ombak terutama ketika musim monsun kerana ombak boleh mencapai kepanjangan 400 meter dan lokasinya yang santai di dalam kawasan perkampungan," katanya.

Beliau turut berharap lebih banyak acara antarabangsa sukan berkenaan akan diadakan di pantai itu pada masa hadapan.

"Salah satu sebab kita menganjurkan pertandingan untuk peluncur ombak muda dari pelbagai negara ini ialah supaya mereka satu hari nanti dapat memperkenalkan Pantai Cherating kepada rakan dan kenalan mereka, sekali gus merancakkan aktiviti pelancongan di kawasan ini," katanya.

- Bernama