Skip to main
Logo Malaysiakini

Zamihan dinobat anugerah 'kasut emas' Liga Putrajaya

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Pasukan Jakim FC muncul juara Liga Putrajaya 2019 selepas menundukkan Kekass FC melalui sepakan penalti apabila perlawanan berakhir tanpa sebarang jaringan.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Pancarona Presint 18 Putrajaya itu menyaksikan pasukan Jakim FC menang melalui penentuan sepakan penalti berkesudahan 4-3.

Kemenangan itu menyaksikan, Jakim FC berjaya membawa pulang wang tunai berjumlah RM4,000 dan piala pusingan pada kejohanan yang berlangsung hujung minggu lalu.

Dengan kemenangan itu juga, pasukan Jakim FC berjaya melayakkan diri untuk bersaing dalam saingan Liga M4 musim depan.

Ketua pasukan Jakim FC, Dr Zamihan Mat Zin, 45 tahun pula muncul penjaring terbanyak Liga Putrajaya 2019 apabila menjaringkan tujuh gol sepanjang liga berlangsung.

Pegawai Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) yang juga presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah (Aswaja) itu menerima trofi kasut emas pada perlawanan akhir tersebut.

Dalam pada itu, Zamihan ketika dihubungi berkata kemenangan berkenaan merupakan satu kejayaan cukup bermakna buat Jakim khususnya.

"Kemenangan ini cukup bermakna buat kami kerana berjaya melangkah ke Liga FAM tahun depan atapun M4.

"Kejayaan ini membuktikan warga Jakim bukan saja hebat di medan dakwah tetapi juga dalam bidang sukan.

"Malah, sukan juga menjadi medium kepada kami warga Jakim untuk menyebarkan dakwah, iaitu berdakwah melalui riadah," katanya.