Skip to main
Logo Malaysiakini

Ozil 'dipadam' dari skuad Arsenal untuk PES 2020 China

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Tiada lagi kelibat bintang Arsenal, Mesut Ozil, dalam permainan video Pro Evolution Soccer (PES) 2020 versi China selepas pemain kebangsaan Jerman itu membuat kenyataan berhubung layanan Beijing ke atas etnik Muslim Uighur.

Syarikat yang menerbitkan PES 2020 di China, NetEase, berkata pemain terbabit tiada dalam skuad Arsenal yang terlibat dalam tiga kejuaraan dalam permainan video terbabit.

Menurut NetEase, Ozil, 31, membuat kenyataan "melampau" mengenai China melalui media sosial.

“Kenyataan itu melukakan perasaan peminat China dan melanggar semangat kasih sayang dalam sukan.

"Kami tidak boleh faham, tidak boleh terima dan tidak boleh maafkan ini,” kata syarikat dalam satu kenyataan hari ini.

Isu etnik Uighur semakin menarik perhatian ramai - termasuk dalam kalangan bukan Islam - selepas satu demi satu bukti menunjukkan mereka ditempatkan dalam tahanan kerajaan.

Beijing mendakwa langkah tersebut adalah bagi mengekang ekstremisme dan mereka yang ditahan diberikan latihan vokasional.

Berhak nyatakan pandangan

Penjuang hak asasi manusia dan kumpulan pendesak pula mendakwa tahanan terbabit dilayan secara zalim, termasuk dipaksa memakan babi, meminum arak, meninggalkan amalan agama dan al-Quran yang ada dirampas.

Terdahulu Ozil - yang berdarah Turki - menganggap etnik Uighur sebagai pahlawan yang berjuang menentang kezaliman.

Pandangan itu dimuat naik oleh Ozil melalui Twitter dan Instagram.

“Quran dibakar, masjid ditutup, sekolah Islam, madrasah diharamkan, ulama dibunuh seorang demi seorang. Namun umat Islam semua berdiam diri,” katanya dalam kenyataan berbahasa Turki tu.

Watak Ozil dalam PES 2020

Ozil menambah: Tidakkah mereka tahu bahawa membiarkan penganiayaan itu adalah satu penganiayaan? Sayidina Ali, menantu Nabi Muhammad berkata, sekiranya kamu tidak boleh menghentkan penganiayaan, dedahkannya.”

Arsenal pula sebelum ini menjarakkan diri daripada komen terbabit dan berkata, kelab itu tidak ada kaitan dengan kenyataan Ozil.

 

Sementara itu bekas pengurus The Gunners, Arsene Wenger, mempertahankan Ozil dan menganggap pemain berpengaruh itu berhak menyatakan pandangannya atas sesuatu isu.

"Ozil berhak bersuara sama seperti orang lain dan ia tidak semestinya dipersetujui oleh semua, namun dia berhak melakukan itu," kata Wenger.

Wenger yang pernah mengangkat Arsenal sebagai juara Liga Perdana Inggersi dan membawa kelab itu melalui musim 2003/2004 tanpa kalah berkata, sebagai manusia semua orang ada pandangan sendiri.

"Dan apabila kamu bermain bola, kamu mainlah. Kamu buat kerja kamu dulu dan kamu perlu hormati itu," katanya yang kini berkhidmat sebagai Ketua Pembangunan Bola Sepak Global Fifa.