Skip to main
Logo Malaysiakini

Abim: Atlet tempatan perlu contohi Ozil, Khabib dalam isu Uyghur

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menggesa golongan artis dan atlet tempatan mencontohi ahli sukan luar negara seperti Mesut Ozil dan Khabib Nurmagomedov, selain penyanyi Maher Zain dalam menyuarakan isu yang dihadapi masyarakat Uyghur, di China.

Kata Naib Presiden Abim, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin, golongan seperti artis dan atlet perlu mencontohi sokongan seumpama itu sebagai tanda solidariti terhadap kaum minoriti Islam di China itu.

“Kita gesa supaya artis, atlet dan juga individu yang mempunyai pengaruh dalam masyarakat Malaysia ini mengambil semangat dan contoh yang dibuat pemain bola Ozil, peninju Khabib dan penyanyi seperti Maher Zain untuk sama-sama menyatakan komitmen dan solidariti terhadap isu Uyghur ini,” katanya.

Ahmad Fahmi berkata demikian dalam sidang media selepas protes senyap yang diadakan di hadapan pintu masuk Bangi Avenue Convention Center (BACC) bagi menyatakan bantahan terhadap penganjuran persembahan kebudayaan 'Beautiful Xinjiang' di situ malam ini.

Katanya, persembahan itu merupakan satu cara China untuk membentuk naratif terhadap layanan negara itu ke atas kaum Uyghur.

Isu etnik Uyghur menarik perhatian ramai - termasuk dalam kalangan bukan Islam - selepas satu demi satu bukti menunjukkan mereka ditempatkan dalam tahanan kerajaan.

Beijing mendakwa langkah tersebut adalah bagi mengekang ekstremisme dan mereka yang ditahan diberikan latihan vokasional.

Penjuang hak asasi manusia dan kumpulan pendesak pula mendakwa tahanan terbabit dilayan secara zalim.

Pada 13 Disember, Ozil memuat naik satu hantaran di Twitter dan Instagram yang mengangkat etnik Uyghur sebagai pahlawan yang berjuang menentang kezaliman selain menyelar umat Islam yang berdiam diri atas penindasan yang berlaku.

Susulan hantarannya itu, ‘kelibatnya’ dikeluarkan daripada pasukan Arsenal dalam permainan video Pro Evolution Soccer (PES) 2020 versi China, kerana didakwa membuat kenyataan “melampau” , “melukakan perasaan peminat China dan melanggar semangat kasih sayang dalam sukan”.

Maher Zain pada 17 Disember memuji tindakan berani Ozil itu dan menyifatkannya bukan satu perkara yang mudah untuk dilakukan.

“Terima kasih saudaraku kerana menentang ketidakadilan,” ciapnya di Twitter.

Terbaru, juara dunia UFC, Khabib Nurmagomedov memuat naik di Insta-storynya petikan video yang memaparkan sejarah kaum Muslim Uighur, berserta keterangan: "Ya Allah, berilah kemudahan untuk para saudara kami, Uyghur”.