Skip to main
Logo Malaysiakini

TRW pastikan hanya ambil pemain import terbaik

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Pasukan The Red Warrios (TRW) akan memastikan pemain import yang dipilih pasukan itu kelak, benar-benar mampu memberikan impak dalam membantu pasukan dalam menghadapi Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Husin Deraman berkata, pengurusan pasukan itu amat menitikberatkan pemilihan pemain yang terbaik, bagi mengelakkan pembaziran kepada persatuan di kemudian hari.

"Kami bukan hanya nilai kepada rekod pemain itu sebelum ini, ada mereka berjaya di saingan liga di sesebuah negara, namun apabila mendapat tempat dalam pasukan kami mereka menimbulkan masalah dengan prestasi tidak menentu.

"Kami tidak mahu dapatkan pemain asing yang hanya menumpang kepada pemain tempatan, khidmat mereka dalam pasukan tidak membantu, malah mutu permainan pemain tempatan lebih baik," katanya kepada Bernama di Kota Bharu hari ini

Husin berkata pada masa ini, pasukan itu sedang menguji empat pemain import dan akan mengadakan perlawanan persahabatan pra-musim menentang Kedah, Sabtu ini di Stadium Sultan Muhammad IV.

"Kesemua mereka sudah tiba di Kota Bharu dan menjalani latihan bersama pasukan sejak beberapa hari lalu sebelum dinilai oleh barisan kejurulatihan pasukan dan akan diuji dalam perlawanan itu,” katanya.

Husin berkata pemain tersebut ialah dua pemain bahagian serangan iaitu Odili Felix Chidi dari (Nigeria) dan Ghanefo Ansumana Agogo Kromah (Libiria), selain pemain tengah Bektur Talgat Uulu (Kyrgyzstan), dan Eze Kingley Obomneme (Nigeria) bermain di posisi pertahanan.

Husin berkata, dalam keghairahan untuk mencari pemain import, mereka juga akan bergantung kepada kewangan yang dimiliki persatuan bagi mengelakkan persatuan itu sendiri menghadapi masalah seperti sebelum ini termasuk masalah tunggakan gaji dan sebagainya.

- Bernama