Pearly Tan-M Thinaah 'penyelamat' kem wanita negara
Gandingan baharu, Pearly Tan-M.Thinaah menjadi 'penyelamat' buat kem wanita negara apabila melangkah ke pusingan kedua kejohanan badminton Masters Malaysia di Arena Axiata, Bukit Jalil hari ini.
Pearly-Thinaah yang beraksi cemerlang pada pusingan kelayakan, mudah mengenepikan lawan yang juga rakan sepasukan Anna Cheong Ching Yik-Lim Chiew Sien 21-15, 21-10 dalam perlawanan pusingan pertama.
Pasangan Pearly-Thinaah yang tampil kali pertama pada kejohanan berstatus Super 500 menjadi satu-satunya wakil wanita yang meneruskan cabaran apabila Teoh Mei Xing-Yap Ling terkandas di pusingan pertama selepas tewas kepada beregu Jepun Nami Matsuyama-Chiharu Shida 19-21, 14-21.
Thinaah ketika ditemui selepas perlawanan, berkata tidak dinafikan faktor rakan sepasukan menjadi 'kunci' buat mereka kerana sudah boleh membaca corak permainan pasangan Anna-Chiew Sien.
"Mereka adalah teammate kita dan hari-hari berlatih bersama. Ada beberapa shot dan corak permainan mereka yang kita sudah tahu macam mana, dan ditambah pula dengan tahap kami yang baik hari ini.
"Walaupun kita tahu mereka, kita juga ada sedia sendiri macam mana untuk lawan mereka. Hari ini mereka juga ada buat jaringan tak dijangka. Tetapi ia satu permainan yang bagus untuk kita,” katanya.
Thinaah, 21, berkata kemenangan hari ini sedikit sebanyak memberi motivasi kepada mereka untuk beraksi pada pusingan kedua ditambah dengan kelebihan beraksi di halaman sendiri.
Gandingan negara itu akan berdepan pilihan kelapan dari Indonesia Greysia Polii-Apriyani Rahayu.
"Bagi kami, kita mengambil langkah demi langkah bagi satu permainan pada satu-satu masa dan berharap kami boleh pergi lebih jauh pada kejohanan ini. Kami akan menyiapkan diri dengan yang terbaik.
Perlawanan seterusnya kami akan bertemu Indonesia. Kami akan tonton beberapa video dan akan berbincang mengenainya," katanya.
Terdahulu, gandingan yang berada di ranking kelapan dunia itu terpaksa bekerja keras sebelum menyingkirkan pasangan Korea Selatan Baek Ha Na-Jung Kyung Eun 21-17, 20-22, 23-21.
Sementara itu, Pearly ketika ditanya mengenai kondisinya yang turut beraksi dalam acara beregu campuran bergandingan dengan Man Wei Chong, berkata ia tidak mengganggu tahap kecergasannya.
"Masih okay sebab tiap-tiap hari berlatih bersama dan ia sama juga dalam pertandingan," katanya.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai