Skip to main
Logo Malaysiakini

Perlawanan Muay Thai antarabangsa di Kota Bharu 1 Feb

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Persekutuan Muay Thai Profesional Malaysia dengan kerjasama Persatuan Sukan Boksing Negeri Kelantan (PSBNK) akan menganjurkan satu perlawanan eksklusif antarabangsa Muay Thai yang melibatkan peninju popular dari empat negara, di Dewan Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK), Padang Kala, Melor dekat Kota Bharu pada 1 Feb ini.

Presiden Persekutuan Muay Thai Profesional Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Fared Abdul Ghani berkata ia merupakan perlawanan eksklusif peringkat dunia yang akan menyaksikan perlawanan tanpa memakai sarung tangan (Muay Thai Boran).

"Seramai 10 peninju dari Malaysia, Thailand, Laos dan Estonia; yang melibatkan lima regu, akan menyertai perlawanan itu nanti, yang dianjurkan di Malaysia buat julung kalinya," katanya kepada Bernama di Kota Bharu, hari ini.

"Regu terakhir iaitu regu kelima pada malam itu ialah perlawanan Muay Thai Khard Chuek (pakai tali) antara peninju dari Thailand iaitu Iquezang melawan Andi dari Estonia. Perlawanan bertaraf antarabangsa ini diadakan berikutan pihak kami mendapat pemintaan tinggi daripada peminat sukan Muay Thai Malaysia, dan kami jangka seramai 10,000 peminat akan hadir pada malam itu," katanya.

Beliau berkata pihaknya turut melarang peminat yang hadir pada perlawanan itu membuat liputan secara langsung melalui media sosial, kerana ia merupakan perlawanan bertaraf dunia, di samping bagi menjaga kepentingan pihak-pihak yang terlibat.

"Sebaliknya mereka (peminat) perlu datang ke gelanggang menyaksikan sendiri perlawanan, sekali gus memberikan sokongan kepada pihak penganjur," katanya.

- Bernama