Liridon sah jadi warga Malaysia
Pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT) Liridon Krasniqi hanya selangkah daripada menyarung jersi skuad Harimau Malaya, selepas sah memperoleh kewarganegaraan Malaysia melalui proses naturalisasi.
Perkembangan tersebut diumumkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan hari ini dengan menyifatkan ia sebagai satu kejayaan dalam usaha memperkasakan skuad kebangsaan, menerusi program pengambilan pemain naturalisasi.
Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata pemain yang berasal dari Kosovo itu sah menjadi warganegara Malaysia, selepas menerima kad pengenalan (MyKad) di Ibu Pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Putrajaya, hari ini.
Menurutnya, Liridon, 28, bakal mengikut jejak langkah pemain naturalisasi pertama negara Mohamadou Sumareh beraksi bersama skuad kebangsaan, namun kini hanya perlu menunggu kelulusan akhir daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
“FAM akan menghantar segera dokumen terbaru berkaitan kelulusan dan pengesahan Liridon sebagai warganegara Malaysia ini kepada FIFA, bagi melengkapkan proses dokumentasi yang diperlukan.
“Diharap kehadiran Liridon sebagai pemain naturalisasi kedua selepas Mohamadou Sumareh dalam skuad Harimau Malaya nanti, akan dapat memperkasakan lagi pasukan,” katanya.
Pada masa sama, FAM merakamkan penghargaan kepada Kementerian Dalam Negeri khususnya menterinya Muhyiddin Yassin yang banyak membantu sepanjang proses Liridon mendapatkan taraf kewarganegaraan Malaysia melalui naturalisasi tersebut.
FAM yang menyasarkan Malaysia berada dalam kelompok 100 terbaik menjelang 2026, mengorak langkah awal dengan menjadikan Sumareh yang merupakan pemain kelahiran Gambia sebagai pemain naturalisasi pertama negara, pada Julai 2018.
Sumareh membantu skuad Harimau Malaya di bawah kendalian ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe muncul naib juara Kejuaraan Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2018.
Selepas Liridon, tumpuan sudah pasti terarah kepada penyerang Perak Guilherme De Paula, yang turut berada di dalam radar FAM sebagai calon pemain naturalisasi negara.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai