Skip to main
Logo Malaysiakini

Covid-19: Semua program belia, sukan tangguh sampai 30 Apr

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Semua perhimpunan, aktiviti belia dan acara sukan yang dianjurkan atau diluluskan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mahupun agensi di bawah seliaannya ditangguhkan atau dibatalkan mengikut kesesuaian sehingga 30 April ini.

Ia selaras dengan keputusan dan saranan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin dalam Perutusan Khas dan juga keputusan Mesyuarat Khas Jemaah Menteri Mengenai Covid-19, semalam.

Menteri Belia dan Sukan, Reezal Merican Naina Merican, dalam satu kenyataan hari ini, berkata keputusan itu akan diteliti semula sekiranya situasi Covid-19 bertambah baik.

"Keputusan dan peringatan pematuhan ini diambil atas sebab keutamaan untuk menjaga keselamatan dan kesihatan khususnya belia dan atlet negara yang terlibat di pelbagai peringkat bagi mencegah kemungkinan jangkitan Covid-19 yang semakin menular,” katanya.

Menurut Reezal Merican, kementeriannya turut mengambil maklum mengenai langkah proaktif yang diambil beberapa badan sukan dan belia yang telah menangguhkan serta membatalkan program masing-masing.

"Begitu juga inisiatif larangan penonton di lokasi kejohanan masing-masing mengikut kesesuaian setelah mengambil kira nasihat pihak berkuasa, khususnya Kementerian Kesihatan," katanya.

- Bernama