Skip to main
Logo Malaysiakini

Bekas presiden Real Madrid maut kerana Covid-19

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Covid-19 terus menelan korbanya. Antara yang terkini ialah bekas presiden kelab bola sepak Real Madrid, Lorenzo Sanz.

Sanz, 76, disahkan hari ini, lapor Reuters.

Ahli perniagaan itu di bawa ke hospital pada Selasa kerana disyaki dijangkiti koronavirus apabila anaknya mendapati dia mengalami kesesakan nafas.

Sanz memimpin kelab Real Madrid antara 1995 dan 2000. Mereka berjaya memenangi dua gelaran Liga Juara-juara dan satu mahkota La Liga selain beberapa pencapaian lain.

Kejayaan Liga Juara-juara pada 1998 menjadi lebih manis apabila ia adalah kejuaraan yang dimenangi untuk kali pertama selepas 32 tahun.

"Ayah saya baru sahaja meninggal dunia.

"Ia tidak sepatutnya berakhir dengan cara ini. Salah seorang yang paling berani dan bekerja keras yang saya kenal dalam hidup saya telah meninggalkan kami, " ciap anak ahli perniagaan itu, Lorenzo Sanz Jr.

Sepanyol adalah satu daripada negara yang paling teruk dilanda wabak berpunca dari Wuhan, China itu.

Setakat ini 26,574 orang disahkan positif di negara itu. Daripada jumlah tersebut 1,381 orang maut.

Berdasarkan jumlah korban, Sepanyol berada di tempat keempat selepas Itali, China dan Iran.