Sokong bantuan Covid Pakistan, atlet kriket India kena hentam di Twiter
Gara-gara menyokong yayasan wabak Covid-19 oleh bekas kapten pasukan kriket Pakistan, dua atlet kriket India Yuvraj Singh dan Harbhajan Singh menerima kecaman hebat di media sosial.
India dan Pakistan sememangnya dikenali sebagai musuh ketat, justeru tindakan mereka berdua dilihat menyentap hati rakyat India, menurut laporan Bangkok Post.
Afridi memohon bantuan sumbangan untuk membantu rakyat Pakistan yang terjejas akibat virus itu dan kempennya itu mendapat sokongan memberangsangkan daripada atlet-atlet kriket terkemuka.
Dalam satu pesanan video, Harbhajan menggesa orang ramai untuk memberikan sumbangan dan menyarankan atlet-atlet kriket lain di kedua-dua negara untuk turut membuat permohonan sama.
“Ini masa yang mencabar, ini adalah masa untuk kita menjaga satu sama lain,” ciap Yuvraj di Twitternya.
Afridi mengucapkan terima kasih kepada kedua-dua atlet India itu.
'Ada akal tak?'
Tapi lain pula ceritanya di Twitter, apabila Harbhajan dan Yuvraj diserang kerana dikatakan menyokong pemain lawan yang selama ini lantang mengkritik cara India mengendalikan isu Kashmir.
“Kamu ada akal (atau tidak)?” Tulis seorang pengguna Twitter. “Hilang hormat” catat satu lagi kicauan.
Yuvraj merupakan pemain posisi pemukul bola yang pernah memenangi Piala Dunia.
Beliau pernah membuat kemunculan semula dalam kriket setelah berehat melawan kanser sebelum bersara tahun lalu.
Beliau membidas komen cercaan dan ejekan kata-kata kesat terhadap dirinya.
“Saya tak faham bagaimana pesanan untuk membantu golongan paling terdedah, disalah tafsir!
“Melalui pesanan (sebelumnya), saya hanya minta supaya bantu rakyat di negara masing-masing dengan menyediakan rawatan kesihatan, niat saya bukan untuk melukakan hati siapa-siapa.
“Saya warga India, darah saya pun berwarna biru (warna seragam pasukan kriket India- ungkapan ini sering digunakan bagi menunjukkan sokongan kepada pasukan kriket India) dan saya akan sentiasa mempertahankan kemanusiaan.”
India dan Pakistan tidak lagi meneruskan siri perlawanan kriket melibatkan kedua-dua negara sejak musim 2012-2013.
Hubungan dua hala juga keruh susulan ketegangan di Kashmir, yang menjadi pusat konflik antara dua negara jiran itu sejak 1947.
Sejak merdeka tujuh dekad lalu, Kashmir menjadi medan persaingan pengaruh geopolitik dua negara jiran itu, dengan India sering menuduh Pakistan cuba mengatur gerakan keganasan di sebelah sempadannya.
Yuvraj, 38 tahun itu turut berusaha mengumpul dana bagi melawan Covid-19 melalui yayasan ‘YouWeCan’.
India yang dikenakan perintah berkurung selama 21 hari sejak 24 Mac lalu, kini mencatatkan lebih 1,600 kes Covid-19 dengan 38 kematian.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai