Skip to main
Logo Malaysiakini

Bapa Wan Kuzain mahu selamatkan TRW

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Selepas berakhirnya kepimpinan Wan Abd Rahim Wan Abdullah sebagai presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), kini hadir seorang individu yang dilapor berminat untuk menyelamatkan skuad The Red Warriors (TRW).

Individu tersebut, Wan Kamal Wan Napi adalah bapa kepada dua pemain bola sepak muda negara iaitu Wan Kuzain dan Wan Kuzri. Dia menyatakan kesediaan untuk menjadi pemilik baru TRW.

BH Online melaporkan, perkembangan itu dikongsikan Wan Kamal menerusi ciapannya di Twitter, hari ini.

Bagaimanapun Wan Napi menegaskan supaya Kafa perlu menyelesaikan segala hutang yang ditanggung pasukan itu sebelum dia mengambil alih pengurusannya.

"Saya berminat untuk membeli pasukan itu tetapi mereka perlu menyelesaikan hutang mereka terlebih dahulu.

"Saya mahu mengubah budaya dalam pemikiran pengurusan dan menyediakan pemain untuk masa depan dan pembangunan bola sepak," katanya seperti dipetik.

Kafa sebelum ini dipimpin Wan Abd Rahim bagaimanapun memilih meletak jawatan pada 6 Julai lalu selepas tidak mampu meneruskan tanggungjawab itu.

Susulan perkembangan itu , Setiausaha Agung Kafa Husin Deraman menyambut baik hasrat Wan Kamal dan pihaknya membincangkan mengenai perkara itu dengan lebih lanjut.

Katanya, seperti yang sudah dinyatakan sebelum ini, penaja baru Kafa tidak perlu menanggung hutang lampau dan sebaliknya hanya fokus pada kewangan semasa.

"Dia boleh tumpu sepenuhnya kepada kelab saja manakala Kafa akan beri fokus kepada pembangunan dan hutang lapuk untuk diselesaikan.

"Memang kehadiran dia tepat pada masa dan ia akan banyak membantu serta menyelamatkan pasukan Kelantan," katanya lagi seperti dipetik laporan itu.