Skip to main
Logo Malaysiakini

Akses fasiliti: Kunci Kecemerlangan atlet paralimpik negara

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

ULASAN | Pencapaian Malaysia di Sukan Paralimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil adalah yang terbaik dalam sejarah penyertaan negara apabila atlet kita buat pertama kalinya memenangi tiga pingat emas dan sebuah pingat gangsa.

Pingat-pingat emas telah disumbangkan oleh pelari pecut, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi atlet lontar peluru, Muhammad Ziyad Zolkefli dan atlet lompat jauh iaitu Abdul Latif Romly.

Seorang lagi atlet lompat jauh, Siti Noor Radiah Ismail pula telah menyumbangkan pingat gangsa.

Pencapaian luar biasa ini secara langsung telah meningkatkan kesedaran rakyat Malaysia terhadap keupayaan sebenar atlet kurang upaya kita.

Seharusnya perhatian serta pendekatan yang serupa harus diberikan kepada atlet paralimpik, kebangsaan seperti yang diberikan kepada atlet yang berupaya dari aspek pembangunan, latihan, dan kelestarian industri sukan itu sendiri.

Prof Madya Dr Selina Khoo daripada Universiti Malaya (UM) melalui kajiannya pada tahun 2012 telah menekankan kepada kepentingan kesaksamaan dan ekuiti di dalam industri sukan kurang upaya dan individu berupaya.

Perbezaan yang ketara di antara keduanya akan memberi impak yang berpanjangan kepada pelbagai aspek usaha pembangunan sukan.

Penyelidik Universiti Alabama, Birmingham, Amerika Syarikat pada tahun 2017 pula mendedahkan hampir keseluruhan kemudahan sukan dan rekreasi untuk permainan dan sukan yang kompetitif sering didapati mempunyai kekurangan akses dan capaian.

Perkara ini secara langsung telah menghadkan peluang penyertaan oleh individu dengan kecacatan fizikal atau mempunyai isu mobiliti.

Kekurangan akses dan capaian ini juga telah dibuktikan oleh kajian dari Universiti Tennessee, Amerika Syarikat pada 2012 sebagai faktor utama yang menghalang sebilangan besar individu kurang upaya daripada menggunakan kemudahan sukan yang disediakan pemerintah dan pihak berkuasa tempatan.

Jika ingin dilihat serius...

Jika kita ingin dilihat serius dalam pembangunan atlet kurang upaya yang telah pun terbukti mampu mengharumkan nama negara di pentas dunia, maka terdapatnya keperluan mendesak untuk sebuah usaha kerjasama yang menyeluruh oleh pelbagai pihak berkepentingan untuk dilaksanakan secara holistik.

Bagaimanapun, usaha yang dimaksudkan ini akan hanya mencapai objektifnya apabila disertai dengan input yang relevan dan terkini.

Pusat Sukan dan Sains Eksesais Universiti Malaya (UM), dengan kerjasama Fakulti Alam Bina UM telah memulakan sebuah penyelidikan khusus ke arah ini sejak 2018.

Penyelidikan yang menerima geran dalaman UM ini akan menilai secara kualitatif dan kuantitatif tahap capaian fasiliti sukan sedia ada untuk latihan dan kejohanan sukan kurang upaya, mengenal pasti halangan penggunaan bagi penyertaan sukan kurang upaya, dan mereka bentuk senarai semak yang pertama seumpamanya di Malaysia bagi tujuan audit capaian kemudahan sukan.

Kajian ini akan menggunakan kerangka dan mekanisme perundangan sedia ada di Malaysia melalui Akta Orang Kurang Upaya 2008 dan Undang-undang Bangunan Seragam 34A.

Akta dan undang-undang ini antara lainnya diwujudkan bagi membantu individu kurang upaya menggunakan bangunan dan kemudahan awam.

Penilaian tahap capaian kemudahan sukan kurang upaya yang sedang dan telah dilakukan melalui kajian ini antaranya memfokuskan kepada reka bentuk dan komposisi persekitaran fasiliti yang terpilih.

Kemudahan yang tersedia secara idealnya boleh diakses, difahami dan digunakan sehingga ke tahap paling maksimum oleh setiap individu tanpa mengira umur serta tahap keupayaan fizikal mereka.

Antara fasiliti di Lembah Klang yang terpilih di dalam kajian ini termasuklah UM Arena, Kompleks Kecemerlangan Sukan Kampung Pandan, KL Sports City, dan Kompleks Sukan Jalan Duta.

Penilaian tahap capaian di setiap lokasi ini telah dilakukan secara terperinci melalui kaedah kualitatif dan kuantitatif.

Audit fasiliti

Temu bual bersama atlet paralimpik negara juga telah diadakan untuk dapatan maklumat bagi tujuan audit fasiliti sukan dan pemahaman mengenai hubungan antara ciri fasiliti kadar penggunaan serta kemudahan akses.

Garis panduan dan reka bentuk capaian akses kemudahan sukan yang terhasil dari kajian ini kelak boleh digunakan untuk tiga pihak berkepentingan yang telah dikenal pasti.

Golongan arkitek, jurutera, dan pihak pemaju hartanah diharapkan akan menggunakan dapatan kajian dalam proses kerja membina dan mengubah suai mana-mana fasiliti sukan.

Tugas pengurus dan pentadbir fasiliti sukan pula akan dibantu oleh dapatan kajian ini melalui pelaksanaan audit fasiliti yang lengkap dan menyeluruh.

Atlet kurang upaya juga bakal mendapat kebaikan, dapatan kajian ini melalui pendedahan tahap capaian fasiliti sukan yang tersenarai bagi diambil kira dalam perancangan latihan dan pembangunan mereka.

Selain penambahbaikan dari aspek kesedaran masyarakat dan manfaat fizikal, penemuan daripada kajian ini juga diharapkan dapat membina kerangka sokongan yang lebih efisien terhadap kesinambungan industri sukan kurang upaya negara yang telah terbukti mampu meletakkan nama Malaysia sebaris dengan jaguh dunia lainnya.

Penghasilan garis panduan capaian akses kemudahan sukan Malaysia yang pertama ini akan menjadi azimat terbaik untuk atlet kita menjulang Jalur Gemilang ketika beraksi di Sukan Paralimpik Tokyo, di Jepun pada 2021 dan Sukan Paralimpik Paris di Perancis pada 2024.


DR NOR EEZA ZAINAL ABIDIN merupakan pensyarah kanan di Pusat Sukan dan Sains Eksesais, Universiti Malaya dan boleh dihubungi melalui emel di [email protected].

Kajian yang dimaksudkan dalam penulisan ini diketuai oleh penulis, dan dibantu oleh Prof Madya Dr Selina Khoo dari Pusat Sukan dan Sains Eksesais UM, dan Prof Madya Dr Naziaty Mohd Yaacob daripada Fakulti Alam Bina UM.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.