Skip to main
Logo Malaysiakini

Proses penswastaan kelab Liga M kini lebih 90 peratus

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Lebih 90 peratus pasukan Liga Malaysia (Liga M) sudah melengkapkan proses penswastaan kelab termasuk proses pemisahan status daripada persatuan bola sepak (FA) kepada kelab bola sepak (FC) menjelang tempoh berakhir tengah malam ini.

Setiausaha Agung FAM Stuart Ramalingam berkata hanya beberapa pasukan sedang berusaha melengkapkan isu dokumentasi sebelum diserahkan kepada badan induk berkenaan bagi memperoleh lesen kebangsaan bagi beraksi dalam saingan Liga M musim hadapan.

"FAM yakin pasukan-pasukan berkenaan dapat menyelesaikan proses penyerahan dokumentasi yang diperlukan sebelum tempoh akhir pada tengah malam ini dan kami sentiasa berhubung dengan semua pasukan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Sementara itu, Stuart menegaskan FAM tidak akan memanjangkan tempoh proses berkenaan kerana kelab dan pasukan Liga M sudah dimaklumkan lebih awal mengenainya.

Menurut Stuart, pasukan yang gagal melengkapkan proses penswastaan kelab tidak akan dibenarkan beraksi dalam pertandingan kelab anjuran Persekutuan Bolasepak Asia (AFC) sekiranya layak, selain diturunkan ke saingan Liga M3 pada 2021.

"Sekiranya mereka berhasrat untuk beraksi semula dalam saingan Liga Premier - sebagai contoh - mereka diwajibkan berada pada dua kelompok teratas Liga M3 pada 2021 dan membuat semula permohonan kepada FAM,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Khas Bola Sepak Profesional FAM Mohd Firdaus Mohamed sebelum ini memaklumkan hanya 12 pasukan sudah melengkapkan proses penswastaan kelab.

Enam pasukan Liga Super yang telah melengkapkan proses penswastaan kelab adalah JDT, Petaling Jaya City FC, Melaka, Terengganu FC, Sabah dan Perak, manakala pasukan Liga Premier terdiri daripada Sarawak United FC, Negeri Sembilan, Kelantan United FC, Kuching FA dan Kuala Lumpur.

Armed Forces FC adalah pasukan tunggal Liga M3 yang sudah melengkapkan proses penswastaan kelab.

- Bernama