Skip to main
Logo Malaysiakini

Pertemuan Kedah-Melaka dipinda ke Ahad

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Aksi Liga Super di antara Kedah dan Melaka United yang dijadualkan di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada Jumaat ini, dipinda ke Ahad.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL) Ab Ghani Hassan, berkata keputusan itu dibuat selepas menerima permohonan daripada Melaka United yang sedang menjalani proses kuarantin sejak Isnin, selepas pulang dari Sabah.

Dia berkata selaras dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 Liga Malaysia (Liga M), perubahan tarikh itu membolehkan Melaka United memiliki tempoh melakukan persiapan.

Untuk rekod skuad itu hanya dibenarkan mengadakan sesi latihan selepas mendapatkan keputusan ujian Covid-19 esok.

“Saya dimaklumkan oleh pihak Melaka, pasukan mereka menjalani kuarantin di hotel berdekatan Bandar Melaka selama tiga hari, dan mereka menjalani dua ujian calitan Covid-19 pada 27 dan 29 Sept lalu.

"Keputusan ujian kedua akan diketahui esok, sebelum pasukan dibenarkan berlatih.

“Setelah menilai dan mengambil setiap pertimbangan daripada pasukan yang memohon mendapatkan masa rehat yang cukup serta menjalani latihan, MFL bersetuju untuk meminda tarikh aksi itu.

"Keputusan ini turut mendapat persetujuan Kedah, yang menunjukkan semangat kesukanan tinggi serta memahami kesukaran yang dihadapi Melaka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ab Ghani turut mengingatkan kesemua pasukan agar mematuhi SOP yang ditetapkan pada setiap masa, bagi memastikan kesejahteraan dan keharmonian Liga-Malaysia sentiasa dalam keadaan terjamin.

“Saingan Liga Super semakin hampir ke kemuncak, jadi saya berharap semua pasukan terus meningkatkan tahap pematuhan SOP, untuk kita sama-sama mengekang penularan pandemik Covid-19.

"Kita semua tidak boleh leka kerana kita belum bebas daripada ancaman wabak ini,” tambahnya.

- Bernama